Khabar angin yang kami dapatkan hari ini kurang enak.
Di kala semua pasukan sibuk membuat persiapan untuk Challenge Cup, kedengaran bahawa satu pasukan mempunyai masalah getir.
Tidak perlu kami namakan pasukan tersebut kerana ianya mungkin mengakibatkan kami di ugut saman sekali lagi, namun dari khabar yang kami dengar satu pasukan tersebut kini berhadapan masalah pembayaran gaji.
Sumber ini memberikan maklumat sahih sebelum ini, jadi ada sebab untuk kami mempercayai kenyataannya kali ini juga.
Mengikut sumber sama, pembayaran gaji belum dilunaskan sejak beberapa bulan lalu, namun ianya tidak dibawa ke pihak PFAM ekoran kerisauan gaji tidak dibayar terus. Ini mungkin sebab mengapa pasukan tersebut tidak tersenarai dalam radar persatuan tersebut.
Dalam pada itu, sumber sama menyatakan bahawa ada pemain bola sepak pasukan tersebut khabarnya berkerja sambilan kerana menunggu gaji, sementara ada di antara mereka tinggal dalam kegelapan ekoran bayaran bil elektrik yang gagal dilunaskan pihak bertanggungjawab.
Juga dinaklumkan bahawa ada seorang daripada pemain import yang diambil sudah kembali ke negara asal dan sesi latihan telah tidak dikendalikan biarpun ada perlawanan dalam beberapa hari ini.
Pasukan manakah tersebut, kami biarkan anda meneka sendiri.
Sesungguhnya, gaji pemain harus dibayar dan diharapkan pihak bertanggungjawab menyelesaikan masalah ini dengan segara sekiranya khabar tersebut benar.