LIHAT PROMOSI TERKINI SHOPEE

DAPATKAN BERITA BOLA SEPAK KUCHING TERKINI DI TELEGRAM KUCHINGBORNEO .

Ketinggalan dua jaringan kepada Selangor FC pada suku akhir pertama TM Piala Malaysia 2022 diharap tidak melemahkan semangat para peminat Negeri Sembilan FC untuk hadir berikan sokongan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Sabtu ini.

Pertahanan Negeri Sembilan FC, Nasrullah Hanif Johan, menjelaskan segalanya masih berkemungkinan buat skuad Hoben Jang Hoben melakukan kebangkitan semula dan seterusnya mencari slot ke separuh akhir TM Piala Malaysia.

Ditambah dengan tiadanya peraturan di tempat gol lawan, dia melihat peluang masih terbuka asalkan mereka mampu menutup defisit dua gol yang dihasilkan Selangor di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

” Masih ada 90 minit lagi, kalau ikutkan masih belum berakhir saingan suku akhir dan harap penyokong akan datang bagi berikan semangat lagi kepada kami untuk terus berjuang bagi memadamkan defisit 0-2.

” Ketiadaan lagi peraturan gol di tempat lawan agak membantu kami juga agar tidak terlalu tertekan dan perlawanan di Paroi, Sabtu ini akan jadi ibarat seperti final kepada kami.

” Perlawanan pertama tempoh hari kami tidak bermain seperti biasa malah kami terlalu fikirkan tentang aksi kedua di Paroi nanti.

” Jadi kami bermain terlalu bertahan dan situasi itu membuka ruang kepada Selangor yang dapat beraksi lebih baik pada perlawanan malam itu,” katanya.

Negeri Sembilan tewas kepada Selangor pada 6 November lalu melalui jaringan Caion dan Aliff Haiqal selain kehilangan Herold Goulon yang dilayangkan kad merah pada minit 51.

Sebagai rekod, Negeri Sembilan sudah lama tidak layak ke separuh akhir iaitu sejak muncul juara kali terakhir pada 11 tahun yang lalu selepas menewaskan Terengganu 2-1 di pentas final.

Namun, Nasrullah tidak menafikan satu tugas yang sukar tanpa Herold Goulon yang terlepas perlawanan penting ini tetapi situasi berkenaan bukan pertama kali buat dia serta rakan-rakan.

” Memang terasa juga tanpa Goulon di bahagian pertahanan namun kami boleh bermain tanpa dia dengan semua pemain tempatan masih melakukan tugasan yang ditinggalkan dia.

” Sebelum ini kami pernah berdepan JDT tanpa Goulon semasa di Paroi dan pemain-pemain tempatan seperti Khuzaimee dan Annas Rahmat masih mampu menggalas peranan di bahagian pertahanan,” katanya. – MFL