Kuching FA kini sah menjadi pasukan terbaharu di dalam Liga Premier 2020.
Dengan kejayaan naik ke Liga Premier, kini hadir cabaran lebih getir dari segi pengurusan untuk pasukan yang baru berumur empat tahun ini.
Di sini kami ringkaskan lima cabaran dari segi pengurusan untuk pengetahuan anda semua:
1 – KEWANGAN YANG KUKUH
Ini sememangnya diakui sendiri oleh Presiden Persatuan Bolasepak Bahagian Kuching (KDFA) Fazzruddin Abdul Rahman yang mana menyatakan bahawa kewangan menjadi cabaran utama pasukan Kuching FA. Dengan pengurusan yang berlainan dari Sarawak FA dan Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS), berkemungkinan Kuching FA boleh mendapatkan tajaan dari badan-badan koperat yang menaja pasukan Sarawak FA sebelum ini bagi memperbaiki kewangan pasukan bagi Liga Premier 2020.
2 – KETUA JURULATIH LESEN A
Semua jurulatih di Liga Malaysia, termasuk Liga Premeir haruslah memiliki Lesen Jurulatih A. Kami tidak tahu jika saudara Ideris Untong memiliki Lesen Jurulatih A seperti yang diperlukan, dan jika beliau tidak memiliki lesen tersebut, Kuching FA perlu mencari individu yang mempunyai lesen tersebut bagi membimbing pasukan Kuching FA pada musim hadapan.
3 – LESEN KELAB BOLA SEPAK
Sarawak FA telah gagal dalam mendapatkan lesen kelab bola sepak beberapa kali. Musim ini, Sarawak FA akhirnya diberi lesen kelab bola sepak secara bersyarat, namun mereka telahpun tersingkir ke Liga M3 musim hadapan. Kuching FA perlu belajar dari masalah Sarawak FA mendapatkan lesen dan berusaha dari hari ini untuk mendapatkan lesen tersebut. Pada hemah kami, mendapatkan lesen tersebut tidak sukar memandangkan Sabah FA berjaya melakukannya dalam masa yang singkat.
4 – PEMAIN LEBIH HEBAT
Walaupun Kuching FA dibarisi ramai pemain berpengalaman yang telah bermain di Liga Super dan Liga Premier, hakikatnya adalah mereka mungkin sudah agak ‘berumur’ dan Kuching FA perlu mencari sedikit ‘tambahan’ bagi memperkuatkan pasukan mereka. Ini adalah kerana kebanyakan pasukan Liga Premier sememangnya kuat dan Kuching perlu memperkuatkan pasukan jika mahu bersaing. Pemilihan pemain import harus dilakukan dengan berpada-pada dan hanya pemain yang benar-benar berkualiti harus diambil.
5 – PENJENAMAAN KUCHING FA
‘Naik pangkat’ ke Liga Premier adalah peluang terbaik untuk Kuching FA menjenamakan diri sebagai kelab profesional pertama di Sarawak, dan mungkin Borneo yang terpisah daripada persatuan. Kuching FA dalam pada itu perlu melihat bagaimana mereka boleh ‘laku’ sebagai satu jenama dan bukan sahaja pasukan bola sepak, dan titik ini bermula dengan penukaran nama dari ‘FA’ kepada ‘FC’ dan mungkin pengenalan barangan sendiri secara esklusif.
Sememangnya cabaran bermain di Liga Premier adalah jauh lebih besar dari bermain di Liga M3, dan Kuching sudah pasti sudah sedia maklum akan semua keperluan ini.
Oleh itu, adalah diharap musim 2020 akan menjadi satu musim yang baik untuk pasukan yang bergelar City of Unity ini.