5 Jenis Peminat Bolasepak Sarawak

Dengan bolasepak Sarawak ‘hidup’ bermula pada 2012, beberapa jenis peminat mula dikenalpasti oleh pihak kami secara umum berdasarkan pemerhatian kami di stadium, media sosial dan juga di kalangan kawan-kawan kami.

Di sini, kami rungkaikan jenis-jenis peminat bolasepak Sarawak yang ada, dan diharapkan anda tidak marah selepas membaca artikel kami ini.

YANG BERSAHAJA

Tak kira menang atau kalah, juara atau tidak, peminat dari kalangan ini rilek sahaja. Mungkin mereka akan membeli jersi Sarawak FA, tapi mereka tidak akan melihat ianya sebagai keperluan penting kerana bagi mereka, cukuplah setakat mereka sokong, bising-bising pun sekda guna. Kebanyakan peminat dari golongan ini adalah peminat jangka panjang yang biasanya mudah dikesan duduk di stadium sambil makan koci dengan jersi Sarawak.

YANG BERSEMANGAT WAJA

Golongan peminat ini adalah yang dikategorikan sebagai ‘die hard fans’. Semangat mereka terhadap pasukan terlalu tinggi dan satu kemenangan, walaupun daripada rentetan kekalahan, sudah cukup bagi mereka menjangkakan pasukan akan mencapai kegemilangan. Tak usah nak cakap masuk final, saat dan ketika Sarawak melangkah ke peringkat separuh akhir sesuatu pertandingan, mereka sudah melayari laman web AirAsia untuk melihat harga tiket penerbangan ke Kuala Lumpur, manatahu Sarawak masuk final kelak.

YANG MUNCUL BILA MENANG SAHAJA

Juga digelar ‘lalang’, peminat seperti ini hanya kelihatan apabila pasukan berprestasi baik sahaja. Apabila prestasi pasukan merundum jatuh, mereka akan mengaku menyokong pasukan Liverpool, Manchester United Real Madrid, atau mana-mana pasukan yang dilihat sedang di dalam aksi terbaik. Golongan ini dapat dikenalpasti dengan mudah apabila mereka sangat ‘excited’ untuk ke stadium apabila pasukan sering menang, tapi selalu ‘busy’ bila pasukan mula kalah.

YANG MUDAH KECEWA

Juga digelar yang ‘cepat panik’ dan peminat yang mempunyai masalah lemah jantung harus mengelakkan dari masuk ke golongan ini. Walaupun liga baru bermula, mereka sudah tidak senang duduk apabila pasukan seri, apalagi kalah, dan belum lagi kalah teruk. Jika keputusan tidak memuaskan, mereka mahukan perubahan terus dan mahu seseorang dipecat, atau diganti. Di medan media sosial, suara mereka jugalah yang paling lantang, dan bila ke stadium, merekalah antara yang paling awal balik dan membaling kerusi/botol/cawan ais krim gula apong apabila pasukan kesayangan sudah ketinggalan.

YANG NAK LIVE SAHAJA

Ini adalah versi peminat terbaru. Tauklah Sarawak tok mala sekda Live, tapi Sarawak FA bukan satu-satunya pasukan yang tidak diberi siaran langsung. Peminat dari kategori ini akan sibuk menyerang laman media sosial FAM, FMLLP, TV3 dan mana-mana media berkaitan dengan mengatakan ‘Sarawak sekda live‘ atau ‘FAM tak adil’ dan sebagainya.

Demikianlah sahaja lima jenis peminat yang kami dapat simpulkan buat masa ini untuk hiburan kita semua. Kawan anda yang mana?

 

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top