Aktiviti ‘Viking Clap’ bakal menghangatkan lagi kemeriahan perlawanan akhir Shopee Piala FA 2019 yang menemukan Kedah dan Perak di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada 27 Julai depan.
Menurut Ketua Pegawai Operasi Malaysian Football League (MFL), Mohd Shazli Shaik Mohd, MFL dengan kerjasama Malaysia Book Of Records telah bersedia mencatatkan rekod baharu dalam aktiviti perpaduan sesama penyokong pada malam final Shopee Piala FA 2019 itu.
Jelas Shazli, MFL selaku penganjur perlawanan akhir bagi edisi ke-30 itu mengharapkan aktiviti ‘Viking Clap’ itu dapat menyemarakkan lagi suasana final Shopee Piala FA 2019 buat peminat-peminat bola sepak khususnya penyokong Kedah dan Perak .
“Aktiviti ‘Viking Clap’ adalah satu pendekatan baharu untuk menyemai perpaduan sesama penyokong.
“Selain bertujuan untuk menghangatkan lagi suasana final Shopee Piala FA 2019, Malaysia Book Of Records turut hadir bagi mengesahkan aktiviti tersebut dicatatkan sebagai rekod terbesar untuk ‘Viking Clap’ dalam negara.
“Justeru, MFL cukup teruja menyaksikan satu pendekatan baharu dalam dunia bola sepak tempatan dan berharap kesemua penyokong dapat menjayakan aktiviti ini dengan jayanya,” katanya pada sidang akhbar di SNBJ, hari ini.
Turut hadir dalam sidang akhbar berkenaan adalah Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Tajul Hasnan Omar dan Setiausaha Eksekutif Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Shahrul Samsudin.