Semua pasukan termasuk di Sarawak perlu melaksanakan latihan secara Camp Based Training.

Perkara tersebut telah diumumkan oleh Malaysian Football League (MFL) yang menyatakan bahawa pasukan-pasukan Liga Malaysia hanya dibenarkan menjalani sesi latihan secara Camp Based Training sepanjang penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Latihan jenis ini bermaksud semua pemain dan pegawai terbabit perlu dikumpulkan di satu lokasi dimana mereka akan makan, dan tinggal bersama tanpa berinteraksi dengan pihak luar sepanjang latihan. Ianya adalah seperti latihan berpusat.

Latihan jenis ini dilihat akan mewujudkan satu gelembung sukan bagi sukan bola sepak dalam Liga Malaysia.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan, pihaknya dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil langkah tersebut dalam usaha mengekang penularan wabak COVID-19 yang semakin serius di negara ini.

Sehubungan itu, Dato’ Ab Ghani menegaskan salah satu kaedah iaitu Home Based Training tidak lagi digunapakai untuk pasukan yang berada dalam PKP di mana mereka dikehendaki mematuhi Camp Based Training sahaja selepas MFL mengadakan mesyuarat bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) dan KKM semalam.

Tegas lagi Dato’ Ab Ghani, gelembung sukan yang dipratikkan oleh pasukan-pasukan Liga Malaysia sejak 15 Februari 2021, akan ‘pecah’ sekiranya mana-mana kelab yang berada dalam kawasan PKP menjalani sesi latihan secara Home Based Training.

“MFL dengan kerjasama beberapa agensi pihak kerajaan telah memahami dengan keadaan semasa COVID-19 dan bersetuju untuk memperketatkan lagi Prosedur Operasi Standard (SOP) sepanjang penganjuran Liga Malaysia musim 2021 ketika pandemik COVID-19 semakin serius menular dalam negara buat masa ini selepas mengadakan mesyuarat dalam talian bersama KKM, KBS dan MSN semalam.

“Justeru, pasukan yang berada di dalam kawasan PKP hanya dibenarkan menjalani sesi latihan secara Camp Based Training sahaja buat masa ini dan mereka tidak dibenarkan menggunapakai kaedah Home Based Training.

“SOP iaitu pegawai dan pemain pasukan hendaklah menjalani Ujian Calitan PCR sebelum mengadakan latihan diperketatkan lagi di mana pasukan dikehendaki mengemukakan pelan latihan, keselamatan dan ujian PCR selain mereka turut dikehendaki menamakan venue latihan dan penginapan kepada MFL.

“Camp Based Training boleh bermula pada bila-bila masa sebaik pasukan telah memohon kepada MFL di mana MFL akan memaklumkan permohonan pasukan kepada KBS,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.

Dalam perkembangan sama, Dato’ Ab Ghani turut menjelaskan perkembangan pasukan-pasukan yang berada dalam negeri Sabah dan Sarawak termasuk Kedah.

“Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) masih berkuatkuasa di Sabah dan Sabah FC dibenarkan menjalani sesi latihan secara Home Based Training.

“Bagaimanapun, bagi Sarawak United FC dan Kuching City FC, mereka dituntut menjalani sesi latihan secara Camp Based Training selepas Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak tidak membenarkan sebarang aktiviti sukan diadakan biarpun status mereka hanya PKPB.

“Kedah Darul Aman (KDA) perlu keluar dari kawasan mereka sebagaimana Kota Setar masih berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan menjalani sesi latihan secara Camp Based Training di kawasan PKP atau PKPB,” ujarnya.