Dengan bermulanya latihan rasmi pasukan Bujang Senang kelmarin, tiga pemain dijangka akan ditamatkan kontrak bersama pasukan bimbingan David Usop.
Pemain yang dijangka ditamatkan khidmat adalah pemain tengah, Junior Aparecido, dan dua pemain bahagian serangan, Gilmar Filho dan Ndumba Makeche.
Ketiga-tiga pemain tersebut merupakan pemain import yang diambil pasukan Bujang Senang ketika ianya dibawah bimbingan bekas jurulatih Sarawak, K Rajagobal, dan mereka tidak hadir ke sesi latihan pertama kelmarin, sekaligus menyaksikan pasukan Bujang Senang memulakan kempen persediaan musim 2017 tanpa pemain import luar negara secara rasmi, sungguhpun Teah Dennis telah turut sama mengikuti sesi latihan tersebut.
Adalah difahamkan bahawa pihak pengurusan baharu Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) telah mengambil langkah berjimat cermat untuk musim hadapan, dan ketiga-tiga pemain import tersebut dilihat ‘terlalu mahal’ untuk terus dikekalkan. Status Teah juga masih di dalam pertimbangan buat masa ini, namun beliau dikhabarkan mungkin ‘selamat’.
Sungguhpun demikian, dengan ketiadaan pengumuman rasmi daripada pihak FAS buat masa ini, status hampir kesemua pemain, termasuk pemain tempatan, masih lagi menjadi satu tanda tanya dan spekulasi akan terus timbul sehinggalah senarai pemain diumumkan secara rasmi.