Tidak sangka akan menjadi penjaring terbanyak

Penyerang import Terengganu FC (TFC), Dominique Da Sylva berazam ingin kekal selaku penjaring terbanyak CIMB Liga Super 2020 sebaik sahaja saingan kembali bersambung andai penularan wabak COVID-19 di negara ini kembali pulih.

Sudah menjadi impian setiap pemain terutama yang menggalas tugas selaku penyerang untuk merebut peluang menjadi penjaring terbanyak tidak terkecuali pemain kelahiran Mauritania ini yang kini telah berjaya mengumpul empat gol selepas tiga perlawanan.

Da Sylva pada awalnya tidak menjangka mampu mencipta kejutan untuk meledak empat gol dalam perlawanan menentang Kedah bulan lalu sekali gus menjadi penjaring terbanyak ketika ini diikuti empat pemain lain dengan tiga gol iaitu Kpah Sherman (Kedah), Shahrel Fikri (Perak), Ivan Carlos (Pahang) dan Ifedayo Omosuyi (Selangor).

Pastinya, pencapaian tersebut satu permulaan yang cukup baik untuk bekas pemain kelab Sai Gon FC dalam Liga Vietnam ini untuk mencipta nama sepertimana pemain-pemain import lain apatah lagi ini adalah kali pertama dia menapak dalam Liga Malaysia.

“Saya juga tidak sangka dapat mempamerkan prestasi sebegitu ketika menentang Kedah dan empat jaringan yang diperoleh itu adalah hasil kerjasama rakan sepasukan juga.

“Sudah pasti, saya ingin terus optimis untuk menjaringkan lebih banyak gol dalam perlawanan akan datang tetapi fokus utama saya untuk musim pertama ini biarlah terarah kepada pasukan dahulu dan tidak kira siapa pun yang meledak gol, asalkan kemenangan berpihak kepada kami.

“Cuma sekarang, apabila kami tengah bersemangat untuk terus beraksi, saingan terpaksa ditangguh untuk sementara dan sudah tentu cabaran utama adalah untuk pemain kekalkan prestasi.

“Saya tidak akan berputus asa, dan tetap bersemangat untuk kembali beraksi bagi mencipta lebih banyak kejutan bersama pasukan,” katanya.

Tambah Da Sylva, apa yang membuatkan dia berasa cukup berbangga beraksi dalam Liga Malaysia buat kali pertama adalah penerimaan daripada peminat yang sentiasa memberi sokongan luar biasa walaupun dia baru sahaja hadir ke Malaysia.

Jelasnya, itulah keistimewaan yang ada dalam Liga Malaysia iaitu jiwa peminat di sini yang cukup dekat dengan dirinya dan menjadikan Da Sylva lebih bersemangat untuk beraksi cemerlang demi penyokong kesayangan.

“Inilah bezanya yang saya rasai jika nak dibandingkan di kelab lama saya ketika di Vietnam, Cyprus dan Mesir iaitu sokongan luar biasa daripada peminat.

“Penyokong di sini begitu mengalu-alukan kehadiran saya dan walaupun saya baru lagi dalam Liga Malaysia, tetapi mereka begitu ghairah menyokong selain percaya akan kemampuan saya dan kerana itulah, saya tidak mahu mengecewakan mereka.

“Ia membuatkan saya lebih fokus dan lebih bersemangat untuk memberi kemenangan kepada pasukan dan tidak akan sia-siakan kepercayaan yang turut diberikan oleh penyokong,” jelasnya.

Pemain berusia 30 tahun itu dipilih beraksi bersama TFC untuk menggalas tugas di posisi serangan bagi menggantikan Tchetche Kipree yang berhijrah ke pasukan Kedah musim ini.

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top