Peminat Sarawak United tidak perlu panik biarpun pasukan tersebut gagal memenangi perlawanan menentang Kuching City minggu ini.
Sarawak United yang tewas mengejut kepada Kuching City pada perlawanan Selasa lalu terlepas peluang untuk mengesahkan kejuaraan mereka lebih awal dan sebaliknya terpaksa memastikan mereka menewaskan Negeri Sembila Jumaat ini.
Mengulas berkenaan peluang pasukannya, ketua jurulatih Sarawak United, E. Elavarasan berkata bahawa pasukan Kenyalang Emas masih mempunyai peluang kerana mereka masih memiliki kelebihan lima mata.
Beliau menambah bahawa kemenangan ke atas Negeri Sembilan akan mengesahkan kejuaraan pasukannya.
Biarpun demikian, Elavarasan merasakan Negeri Sembilan masih mempunyai peluang untuk merebut kejuaraan liga dan perlawanan berikutnya yang mana akan menemukan kedua dua pasukan adalah perlawanan amat penting khususnya bagi Negeri Sembilan.
“Kita masih ada kelebihan. Kita masih ada kelebihan dua mata dan kita cuma perlukan satu mata sahaja.” kata Elavarasan selepas perlawanan menentang Kuching City.
“Jika kita kalahkan pasukan terdekat dengan kita, Negeri Sembilan, kita akan ada kelebihan lima mata.
“Ianya masih terbuka. Negeri Sembilan pun ada satu peluang.
“Biarlah pertandingan lebih menarik. Bagi Negeri Sembilan ianya adalah ‘kalah mati’, bagi kita, kita masih stabil dan kita ada lagi perlawanan.” ulas Elavarasan.
Sarawak United akan sah bergelar juara Liga Premier sekiranya mengalahkan Negeri Sebilan pada perlawanan kedua akhir kedua – dua pasukan pada hari Jumaat ini.