Home Malaysian football Tarikh permulaan semula Liga Malaysia dipinda ke 28 Ogos

Tarikh permulaan semula Liga Malaysia dipinda ke 28 Ogos

Malaysian Football League (MFL) menerusi Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Ke-22 semalam telah membuat keputusan untuk meminda tarikh mula Liga Malaysia iaitu pada 28 Ogos 2020.

Keputusan MFL untuk mengubah kalendar baharu itu dibuat selepas pengendali Liga Malaysia tersebut mengambil kira pelbagai faktor susulan penundaan tarikh pusingan kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan, penetapan tarikh baharu kalendar pertandingan MFL adalah tertakluk kepada tarikh perlawanan peringkat domestik, Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bolasepak Asean (AFF).

Jelas lagi Dato’ Ab Ghani, MFL yakin bahawa pindaan tarikh sepak mula itu sedikit sebanyak memberikan kelebihan kepada pasukan bertanding yang hanya akan bermain di hujung minggu dan memiliki tempoh rehat serta persiapan lebih lama.

“Perancangan kalendar baharu telah mengambil kira perkara –perkara seperti penundaan tarikh Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023, tarikh baharu AFC Champions League (ACL) yang bermula 17 Oktober sehingga 4 November depan melibatkan pasukan Johor Darul Ta’zim dan penundaan kejohanan Piala AFF Suzuki 2020 berdasarkan kenyataan rasmi AFF bertarikh pada 30 Julai 2020.

“Dalam masa yang sama, MFL optimis bahawa pindaan tarikh ini akan menyaksikan setiap pasukan akan mempunyai tempoh rehat dan perjalanan yang lebih panjang lebih fleksibel di antara empat sehingga enam hari.

“Apa yang pasti, susulan daripada penundaan kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023, MFL juga memiliki tarikh-tarikh simpanan di antara 10 hingga 29 November 2020 sekiranya isu COVID-19 masih berlanjutan dalam negara kita.

“Perlawanan Liga Malaysia musim 2020 tetap dilaksanakan seperti yang dirancang untuk menentukan pemenang liga secara rasmi bagi kelayakan AFC, ACL dan AFC Cup 2021,” katanya dalam satu kenyataan rasmi, hari ini.

Terdahulu, MFL sebelum ini mengumumkan bahawa Liga Malaysia kembali bersambung pada 26 Ogos 2020 selepas ditangguhkan sejak 16 Mac lalu disebabkan pandemik COVID-19.

Bagi aksi perlawanan tertunda iaitu aksi CIMB Liga Super yang menemukan PJ City FC menentang Terengganu FC serta perlawanan Liga Premier UKM FC bertemu Kelantan kekal seperti yang dijadualkan sebelum ini iaitu pada 22 Ogos 2020.

IKLAN: Sertai Pertandingan FPL, Liga FPLFC 2020/21 oleh SarawakCrocs sekarang dan menangi hadiah bernilai RM2,500. Untuk info lanjut, hubungi 0128086262 (KIM) atau 0168756183 (REAL).

Previous articleTiada penyingkiran dari Liga Premier musim ini
Next articleElavarasan: Tiada perlawanan persahabatan kompetitif bukan alasan