Isu pemain tidak melaporkan diri ke latihan pusat untuk ke Sukan Asia menjadi topik utama sebuah stesen TV sukan tempatan. Isu itu hanyalah dianggap isu biasa oleh media dan netizen.
Ya memang penjadualan Piala Malaysia yang dianggap tidak logik kerana bertembung dengan Sukan Asia namun ketidaksanggupan pasukan melepaskan tonggak boleh dianggap sebagai pengkhianatan terhadap negara.
Isu yang cuba dibangkitkan disini adalah bagaimana berat sebelah media dan netizen terhadap sesuatu pasukan. Mengapa perlu wujud sikap “double standard” dalam laporan dan juga kritikan di media sosial.
Pahang FA enggan melepaskan Matthew Davies dan Nor Azam Azih ke skuad kebangsaan kerana ingin menumpukan aksi Piala Malaysia. Dua tonggak ini adalah penggerak kejayaan skuad bawah 23 negara sebelum ini.
Namun tidak ada satu pun media massa mahupun media sosial yang membangkitkan isu ini. Jika JDT yang berbuat demikian, maka berhamburanlah kata-kata kesat di media sosial oleh netizen dan media massa pula akan menyediakan laporan khas untuk isu ini selama 7 hari 7 malam.
Keadaan bertambah buruk apabila media akan menanyakan pendapat dua orang “lagenda” bola sepak yang sudah tidak relevan. Tetapi jika pasukan lain, media dan netizen seolah-olah menutup mata dan menghalalkan tindakan itu. Malah ada pula yang masih menyalahkan JDT dalam isu ini.
Kepada netizen dan media bangkitlah dari tidur yang lena. Buanglah sikap tidak profesional anda terhadap JDT. Sebagai media anda harus berlaku adil dan netizen pula harus jujur dengan segala komen yang diberikan. Layanlah semua pasukan sama rata kerana ini melibatkan maruah negara di pentas Sukan Asia.
Dan percayalah, media dan netizen yang sama jugalah yang akan mengkritik kegagalan pasukan kebangsaan kelak. Akibat dari sikap menghalalkan cara itulah bola sepak Malaysia sukar untuk maju.
Ayuh semua kita harus sepakat demi Malaysia. Nama baik dan masa depan pasukan bola sepak kita bergantung kepada satu sama lain. Oleh itu berjuanglah sehabis baik. Sampai mati Harimau Malaya. – SARAWAKCROCS.COM/JJF