Sudarsono: Masa untuk presiden sepenuh masa

Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) Datu Sudarsono Osman kelmarin telah mengumumkan beliau tidak akan mempertahankan jawatan beliau di Mesyuarat Agung FAS Sabtu ini.

Sudarsono ketika dihubungi pihak SarawakCrocs menyatakan beliau mengambil keputusan demikian kerana perlu memberi fokus kepada kerja hakikinya.

Jelas Sudarsono, menguruskan FAS memerlukan masa yang banyak, dan beliau merasakan sudah tiba masanya untuk beliau memberi laluan kepada calon lain yang mempunyai lebih masa untuk membawa bolasepak ke peringkat seterusnya.

Dalam pada itu, Sudarsono turut menegeskan bahawa beliau tidak berundur disebabkan tekanan, namun berbuat demikian (tidak mempertahankan jawatan presiden FAS) kerana merasakan bahawa calon yang dapat memberikan komitmen masa yang lebih kepada bolasepak Sarawak, akan membawa lebih banyak kebaikan kepada sukan tersebut.

Presiden tujuh tahun FAS itu turut menambah bahawa beliau amat berharap presiden baharu yang dipilih Sabtu ini mampu membawa bolasepak Sarawak ke peringkat lebih tinggi, sambil beliau pada masa yang sama turut bangga dengan pencapaian yang telah diperolehinya selaku Presiden FAS, terutama sekali apabila Sarawak kini memiliki beberapa orang barisan pemain muda seperti Rodney Celvin, Nur Shamie Iszuan, Tommy Mawat dan banyak lagi.

Sudarsono dalam pada itu turut menyatakan beliau amat menghargai dan menyukai setiap saat beliau terlibat secara aktif di dalam bolasepak Sarawak, sambil menyifatkan setiap ‘kekecewaan, keperitan, dan kejayaan’ yang ditempuhi sebagai sesuatu yang amat mengujakan beliau.

Dari sudut bolasepak Malaysia, Sudarsono telah berjaya mengangkat bolasepak Sarawak kembali ke era kegemilangan dengan Sarawak menjuarai Liga Premier pada 2013 dan kembali ke Liga Super pada tahun berikutnya.

Sarawak juga telah memberikan saingan hebat di Piala Malaysia dengan memasuki peringkat separuh akhir pada 2013, dan layak bertanding di Piala Malaysia semenjak 2010.

Dari segi pengurusan peminat, Sudarsono telah memperkenalkan pembelian tiket bolasepak ‘on-line’ yang pertama di Malaysia, dan telah bertindak membuka Laman Facebook rasmi FAS yang pertama.

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top