Amateur Football League (AFL) telah mengumumkan beberapa penambaikan bagi liga-liga amatur dibawah kendaliannya.

Antara cadangan AFL adalah agar dua atau empat slot pasukan dari Liga M3 (tertakluk kepada kelulusan Malaysian Football League) untuk bertanding dalam Challenge Cup.

Bagi memenuhi hasrat ini, jadual liga AFL dan MFL akan diselaraskan bagi membolehkan pasukan Liga M3 bersaing dalam Challenge Cup.

Kehadiran pasukan daripada Liga M3 dalam Challenge Cup mampu memberikan impak positif kepada pasukan-pasukan ini sebagai pendedahan awal kepada profesional selain mendapat faedah bermain dengan pasukan-pasukan dari Liga Super dan Premier.

Pengerusi AFL, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi walaubagaimanapun memperingatkan kelab Liga M3 bahawa slot pasukan Liga M3 tidak boleh ditukar atau dijual kepada mana – mana pihak.

“Keputusan terakhir berada di tangan AFL untuk menilai, pertimbang sebelum meluluskan slot pasukan Liga M3 kepada pihak yang lain.

“Saya berharap budaya tidak sihat ini dapat dihentikan kerana mana-mana pasukan tidak boleh sewenang-wenangnya melepaskan slot mereka kepada pasukan lain,” katanya.

Satu lagi perubahan dibuat oleh AFL ialah program naturalisasi akan mula diperkenalkan dengan tambahan dua lagi pemain kuota asing mesti berumur antara 18 hingga 20 tahun.

Tujuan program ini diadakan selaras untuk menjayakan program pemain naturalisasi FAM yang boleh diserap ke skuad negara.

Sebelum ini, setiap pasukan Liga M3 dibenarkan mendaftarkan dua pemain asing tanpa sebarang had umur.

Justeru, setiap pasukan Liga M3 kini dibenarkan punyai empat pemain import (2 tanpa sebarang had umur+2 pemain umur 18-20 tahun) bagi musim 2020.

Setiap kelab Liga M3 dan Liga M4 juga digalakkan untuk menjadi ahli gabungan persatuan kerana bermula tahun 2021, setiap kelab Liga M3, Liga M4 dan Liga M5 diwajibkan untuk mendapatkan pengiktirafan atau perlu bernaung di bawah persatuan daerah atau negeri.