Sibu District perlu RM2 juta dan kelulusan FAS jika mahu bermain di Liga M3

Kelab bola sepak Sibu District memerlukan sekurang – kurangnya RM2 juta jika ingin bersaing di liga amatur Malaysia, Liga M3.

Kesimpulan ini boleh dibuat jika kata – kata Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS), Posa Majais dijadikan sandaran.

Posa dipetik satu akhbar tempatan sebagai menjelaskan bahawa kos untuk pasukan dari Sarawak dan Sabah sememngnya tinggi kerana kebanyakan aksi liga tersebut akan berlangsung di Semenjung Malaysia.

“Kelab tersebut hendaklah mempunyai sumber kewangan mencukupi, sekurang-kurangnya RM2 juta” jelas Posa kepada satu akhbar tempatan.

Selain halangan dari segi dana, Sibu District juga perlu mendapatkan kebenaran dari pihak FAS jika mahu bermain di Liga M3.

Menurut Posa dalam artikel sama, syarat tersebut (kelulusan dari pihak FAS) adalah termaktub dalam perlembagaan.

“Ia merupakan syarat wajib yang ditetapkan oleh FAM seperti yang termaktub dalam perlembagaan. Tanpa kelulusan daripada FAS, maka pendaftaran sesebuah pasukan tidak akan diterima,” jelas Posa dalam artikel tersebut.

Posa dalam pada itu juga menjelaskan pihaknya tidak ada masalah untuk meluluskan permohonan mana – mana kelab yang mahu bertanding di Liga M3 jika tiada kekangan hal lain.

Sibu District merupakan satu kelab baharu di tengah Sarawak yang dilihat mungkin akan mengikut jejak langkah Kuching City sebagai satu kelab profesional.

Dalam pada itu, hadir khabar bahawa kelab tersebut kini sedang mempersiapkan diri untuk bertanding di Liga M3 untuk musim ini.

Jika benar Sibu District akan bertanding di Liga M3, maka Sarawak akan mempunyai empat pasukan bertanding di dalam sistem Liga Malaysia, termasuk Sarawak United II (dulu dikenali dengan nama Sarawak FA), Kuching City FC, Sarawak United FC.

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top