Semua ini amat diperlukan oleh bolasepak Sarawak

Ini merupakan satu topik menarik kerana bola sepak komuniti sebenarnya sangat dekat dengan kita.

Sangat dekat kerana sebagai contoh, jika anda ialah penduduk Engkelili, mungkin anda boleh menyokong pasukan Simanggang Crocs (pasukan mewakili bandar Sri Aman).

Tidak keterlaluan kalau dikatakan bola sepak inilah yang sepatutnya disokong sepenuhnya oleh rakyat Sarawak.

Kita biasa mendengar perkembangan bola sepak tempatan seperti Liga Kuching, Liga Bintulu, Piala Sarawak dan sebagainya, serta pasukan-pasukan seperti Kuching FA, Ibraco FC, Finexsys dan lain-lain lagi.

Dengan keluasan Sarawak sebesar Semenanjung Malaysia, adalah logik sekiranya setiap bahagian mempunyai liga tersendiri, dan setiap bandar memiliki sebuah kelab bola sepak.

Tetapi apa yang Sarawak perlukan ialah pengurusan dan pembangunan yang lebih mantap daripada Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS).

Perlu diingat bahawa FAS memang memiliki pelan untuk memajukan bola sepak Sarawak, tetapi kekangan kewangan dan kepakaran yang dihadapi membataskan hasrat ini.

Walau bagaimanapun, FAS boleh meminta ahli-ahli gabungannya untuk bergerak dan mencari dana tambahan untuk memajukan bola sepak bahagian masing-masing, di samping dana terhad yang diberikan oleh FAS setiap tahun.

Ahli-ahli gabungan, atau “affiliates” ini adalah persatuan-persatuan bola sepak bahagian di Sarawak. Setiap bahagian memiliki kuasa untuk membentuk hala tuju bola sepak bahagian masing-masing mengikut dasar yang ditetapkan oleh FAS, termasuklah penganjuran liga tempatan dan persediaan pasukan bahagian untuk kejuaraan seperti Piala Sarawak.

Apakah dasar bola sepak FAS? Adakah ianya sama seperti yang dilakukan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam membangunkan bola sepak Malaysia?

Jawapannya adalah, Ya, dasar dan matlamat FAS adalah sama dengan FAM, iaitu memartabatkan bola sepak tempatan ke arah lebih kompetitif, berdaya saing dan bertaraf antarabangsa. Jika itu mampu dilakukan, ianya mampu menghasilkan bakat, dan meningkatkan nilai komersil sukan ini.

Dengan adanya struktur yang lebih baik dengan dasar yang jelas, FAS mampu menggerakkan gabungannya untuk memperkasakan bola sepak komuniti di seluruh Sarawak.

Sebagai penyokong, kita juga harus menunjukkan minat dengan turun menonton perlawanan yang melibatkan pasukan komuniti. Kita juga hendaklah membantu memberikan sokongan dengan membeli barangan pasukan atau menyumbang mengikut kemampuan.

Kempen #BubarSarawakFA adalah setara dengan matlamat FAM dan FAS, yakni membangunkan bolasepak di peringkat akar umbi. Sungguhpun demikian, kami di SarawakCrocs sudah lalu (lejuk kata orang Sarawak) mendengar ‘dana’ sebagai alasan.

Oleh itu, bagi kami, lebih baik dana tersebut digunakan untuk memarkatabkan liga di peringkat bawah supaya lebih ramai pasukan boleh meningkat, sekaligus menaikkan lagi lebih ramai bakat Sarawak.

Peminat harus turun padang menyokong pasukan tempatan ini. Bantulah pasukan-pasukan komuniti anda.

Marilah bersama kita giatkan bola sepak komuniti kita, dan berikan sokongan agar generasi muda dapat menikmati bola sepak tempatan. Kalau bukan kita, siapa lagi? #BubarSarawakFA. – SARAWAKCROCS.COM/RSI

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top