Kelab bola sepak Sarawak United terus memberi amaran kepada pasukan – pasukan Liga Super selepas sekali lagi menewaskan seteru dari liga lebih tinggi daripadanya, Sri Pahang.
Kemenangan tersebut terhasil daripada jaringan tunggal Tommy Mawat Bada pada babak kedua perlawanan selepas beliau merembat masuk bola leret hantaran Sandro Medonca ke gawang masuk Sri Pahang pada minit ke-61, sekaligus memberi tiga mata penuh kepada pasukan Kenyalang Emas dalam kempen Piala Malaysia mereka.
Dollah Salleh selepas perlawanan menyalahkan kegagalan pasukan beliau sendiri atas kesalahan Sri Pahang gagal mengutip sebarang mata malam tadi.
Menurut Dollah, pasukannya gagal mencipta peluang dan Sri Pahang telah menerima padah apabila gagal berbuat demikian.
Dollah juga berkata kelemahan Sri Pahang itu sememangnya telah dikesan dan diberi penekanan namun ianya masih belum menampakkan hasil.
“Kita mengawal perlawanan, tetapi kita tidak mencipta peluang. Dalam bola sepak, kalau kita tidak menjaringkan gol, kita akan menerima padahnya. Saya rasa betul – betul agak sukar sebab untuk mencipta satu peluang untuk menjaringkan gol. Ini masalah pasukan Pahang ni.” kata Dollah selepas perlawanan.
“Saya yang duduk di bahagian luar pun ternanti- nanti bila kita nak jaringkan gol.
“Kita buat latihan bersungguh – sungguh, tapi benda sama berlaku.
“Itulah hakikatnya, kita kena terima.” jelas Dollah lagi.
Dalam perkembangan sama, Dollah juga menyatakan pasukannya masih bermain secara individu dan ini mengakibatkan mereka masih tercari – cari rentak.
// DAPATKAN JERSI ORIGINAL SARAWAK UNITED
Beliau juga menyatakan situasi ini menyebabkan Sarawak United mudah mematahkan serangan Sri Pahang.
“Keseluruhannya adalah pada pasukan, bukan pada individu, tapi nampak masing – masing pada individu, jadi itulah yang membuatkan kita masih tercari – cari rentak.
“Kita tersekat dari tengah ke bahagian serangan dan begitu mudah pihak lawan nak patahkan serangan kita.
“Jadi apabila benda dah terjadi di bahagian depan, ianya memberi kesan kepada pasukan.” kata Dollah lagi.
Sarawak United dalam pada itu kini di tangga teratas dalam Kumpulan A, di atas pasukan Penang, Sri Pahang dan Kuala Lumpur City.