Mantan Ketua Jurulatih Sarawak FA, Robert Alberts baharu sahaja selesai menjalani pembedahan jantung.

Dalam satu video yang dikeluarkan pada 23 Julai, Robert mengesahkan sendiri bahawa beliau telah mengalami serangan jantung pada Selasa lalu, dan telah menjalani pembedahan jantung pada hari yang sama.

Dalam video yang dikeluarkan Robert sendiri, beliau menunjukkan cubaan untuk berdiri sendiri selepas pembedahan tersebut.

Beliau juga menerangkan bagaimana beliau mula mengalami tanda – tanda serangan jantung sejak Isnin lalu.

“Saya memberikan anda sedikit informasi berkait dengan status dan situasi saya kini kerana saya tidak mahu orang membuat spekulasi di internet” jelas jurulatih berpengalaman itu di dalam videonya.

“Pada hari ini, 23 Julai 2020, saya kini sedang menjalani pemulihan selepas menjalani pembedahan jantung.

“Sebelum ini saya merasakan keadaan diri saya baik, namun pada minggu lepas semasa satu sesi berbasikal, tangan kiri saya kurang selesa, namun saya telah membiarkan sahaja keadaan itu kerana beranggapan ia adalah sesuatu yang biasa.

“Saya juga telah menjalani pembedahan ibu jari kaki sebelum ini, dan pada hari Isnin lalu, saya merasa tidak sihat dan telah ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

“Doktor yang memeriksa saya tidak menemui sebarang masalah dengan saya pada ketika itu, dan satu pemeriksaan lanjut telah dijadualkan ke hari Selasa.

“Walaubagaimanapun, pada jam 2AM pada hari Selasa, saya mula merasa kurang sihat dan pada jam 3AM saya mendapati sakit di tangan kiri saya semakin teruk dan saya segera ke hospital.

“Pada jam 5AM, saya telah dibawa ke bilik pembedahan untuk pembedahan segera”. tambah Roberts.

Robert turut menjelaskan bahawa satu daripada tiga arterinya didapati telah tersumbat dan beliau terpaksa dibedah.

Beliau juga mengesahkan beliau kini dalam keadaan stabil, dan memandang ke arah kemunginan kembali melatih pasukan Persib.

Biarpun telah meninggalkan pasukan Sarawak FA beberapa tahun lalu, Robert masih dianggap satu lagenda di kalangan peminat bolasepak Sarawak kerana beliau telah berjaya membawa Sarawak menjuarai Liga Premier pada tahun 2013.

Pada tahun 2015 Roberts telah meninggalkan Sarawak FA untuk menabur khidmat di Indonesia dimana beliau dilantik sebagai ketua jurulatih di PSM Makasar dan kini Persib.

Kepada Robert Alberts, semoga cepat sembuh!