Pasukan Sarawak United mungkin akan melaksanakan latihan mereka di Semenanjung Malaysia.
Menurut laporan akhbar termpatan, Pengarah Sarawak United FC, Posa Majais memberi indikasi tersebut memandangkan situasi Covid-19 yang belum reda.
Hal ini sekaligus bakal menyaksikan pemain dari Semenanjung Malaysia terpaksa dikuarantin sekiranya mereka ke Sarawak, dan ini sekaligus akan menyaksikan persediaan kelab tersebut tergugat.
“Kita tunggu keputusan sama ada PKPP ditamatkan atau diteruskan” kata Posa dalam laporan akhbar tempatan.
“jika diteruskan, maka pemain tempatan kita yang berada di sini (Sarawak) akan terbang ke Semenanjung untuk berlatih.” jelasnya lagi.
Sarawak United sebelum ini telah mengumumkan beberapa pemain kelab tersebut untuk saingan musim hadapan, dengan hampir semua pemain bukan Sarawak adalah muka baharu.
Dalam perkembangan sama, lapan pemain anak Sarawak dikekalkan dalam kelab tersebut, dengan hanya satu pemain anak Sarawak dibawa masuk setakat ini.
Laporan media Sarawak melaporkan kelab tersebut kini sedang mencari beberapa lagi pemain tempatan untuk melengkapkan senarai pemain Sarawak United bagi musim baharu.