Home Malaysian football Sarawak United mohon bermain di Liga M3 musim hadapan

Sarawak United mohon bermain di Liga M3 musim hadapan

Kelab bolasepak profesiaonal Sarawak United telah menghantar permohonan untuk bermain di Liga M3 pada tahun 2023.

Perkara tersebut telah disahkan Ketua Pegawai Operasi Liga Bolasepak Amatur Malaysia (AFL), Raimi Fakri, yang mana mengesahkan bahawa pihaknya sudah menerima permohonan daripada Sarawak United untuk beraksi dalam Liga M3 musim depan.

Biarpun demikian, Raimi juga menyatakan bahawa status Sarawak United di Liga M3 belum lagi sah kerana pihak AFL perlu meneliti setiap aspek terlebih dahulu, terutama melibatkan struktur kewangan setiap pasukan, sebelum memuktamadkan sebarang keputusan.

“Sebenarnya kami menerima tiga permohonan baru, iaitu daripada Sarawak United, Melaka United dan Melaka FC,” katanya kepada Nadi Arena.

“Melaka FC merupakan satu pasukan yang ditubuhkan oleh Persatuan Bolasepak Melaka.

“Setakat ini, berkenaan diterima masuk atau tidak, ia masih dalam proses, di mana proses ini berjalan seiring dengan proses pengesahan pasukan-pasukan Liga M3.

“Sebenarnya, proses ini sudah 70 hingga 80 peratus, jadi kami berharap baki 30 peratus akan dapat diselesaikan minggu depan agar kami dapat umumkan pasukan yang akan bersaing dalam Liga M3,” katanya lagi dalam laporan Stadium Astro.

Buat masa ini 14 pasukan sudah mengesahkan penyertaan bagi Liga M3 musim depan dengan kemasukan Sarawak United, sekiranya berjaya, menjadikannya kepada 15 pasukan.

Sebelum ini, Sarawak United disahkan tidak layak untuk beraksi dalam Liga Super 2023 selepas rayuan permohonan lesen kebangsaan ditolak oleh Jawatankuasa Rayuan Pelesenan Kelab (AB) Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

RECOMENDED LINKS: