Kelab bola sepak Sarawak United menunjukkan mereka tidak hanya bermain kata – kata apabila melaungkan keinginan mencabar untuk kejuaraan Liga Premier musim ini.
Kelab yang dimiliki FAS dan Posa Majais itu memulakan Liga Premier musim ini dengan kemenangan selesa 2-0 ke atas Kelantan United FC malam ini tadi.
Sarawak United yang dilatih E Elavarasan tidak menunggu lama untuk menjaringkan gol, dengan Christie Jayaseelan menjaringkan gol permbukaan seawal minit ke-12.
Gol kedua Sarawak dijaringkan oleh penyerang import Sarawak United, Uche Agba melalui sepakan penalti pada minit ke-23.
Perlawanan yang ditonton lebih 17 ribu peminat secara langsung di media sosial itu menyerlahkan pengusaan kelab Sarawak di atas padang, dengan Kelantan United dilihat gagal untuk mengatasi pengalaman pemain Sarawak United pada babak pertama.
Babak kedua menyaksikan Kelantan United bangkit untuk mencabar kedudukan Sarawak United, namun kekebalan benteng Sarawak United yang diketuai Taylor Reagan jelas tidak mahu dibolosi pada malam ini.
Kemenangan itu meletakkan Sarawak United di kedudukan baik untuk memulakan kempen Liga Premier mereka untuk musim 2021.