Derbi Kuching: Siapa lebih hebat?

Perlawanan seteru setempat, Kuching City FC dan dan Sarawak United FC bakal menampilkan dua pasukan kin boleh dianggap antara dua pasukan paling diperhatikan di dalam bola sepak Sarawak dalam Liga Malaysia.

Kuching City dan Sarawak United, masing – masing akan bertembung dalam satu perlawanan yang dilihat bukan sahaja penting bagi kedua – dua pasukan, malahan dilihat penting bagi peminat setia mereka.

Disebabkan lokasi pasukan tersebut yang hampir berkongsi peminat, wujud perbalahan dan ‘perang mulut’, khususnya di media sosial berkenaan pasukan mana yang lebih layak digelar ‘King of Kuching football’ atau ‘King of Sarawak football’.

Peluang Kuching City

Kuching City amat memerlukan kemenangan dalam perlawanan ini.  Dengan hanya satu mata dari dua perlawanan, kekalahan kepada Sarawak United akan terus menenggelamkan pasukan bimbingan Irfan Bakti itu ke bawah Liga Premier.

Ini sekaligus akan menyukarkan lagi mereka bersaing untuk tempat ke Liga Super memandangkan jurang perbezaan mata dengan pasukan Sarawak United, yang kini di kedudukan kedua Liga Premier, akan semakin jauh.

Di atas kertas, Kuching City dilihat sebagai pasukan lebih kerdil berbanding Sarawak United.

Pasukan ini telah mengekalkan hampir semua pemain musim lalu dan hanya membawa masuk seorang pemain import baharu.

Sungguhpun demikian, rekod lampau dalam Soccerway menunjukkan Kuching City lebih baik apabila kedua dua pasukan ini bertemu kerana mereka telah berjaya memenangi dua daripada lima pertemuan sebelum ini.  Pertemuan kedua pasukan yang terakhir di dalam Liga Premier juga dimenangi oleh Kuching City.

Peluang Sarawak United

Sarawak United pula bukan pasukan yang boleh dipandang enteng musim ini.  Pada musim lepas, ketua jurulatihnya, E. Elavarasan tidak mempunyai pilihan pemain yang dikehendakinya, dan perkara tersebut telah berubah pada musim ini.

Di atas kertas, kekuatan Sarawak United nyata dengan beberapa bekas pemain kebangsaan serta pemain import berkualiti yang membarisi kelab yang dimiliki Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) ini.

Sungguhpun demikian, rekod lampau, juga oleh Soccerway, menunjukkan pasukan ini hanya menang sekali sahaja apabila kedua – dua pasukan bertemu, iaitu dalam perlawanan Liga M3 yang mana Sarawak United pada ketika itu masih lagi menggunakan gelaran Selangor United.

Sarawak United dalam pada itu mempunyai motivasi lebih untuk menang malam ini bagi membuktikan mereka, sebagai pasukan yang lebih ‘abang’, merupakan kuasa bola sepak di Sarawak.

Siapa bakal menang?

Apapun, sejarah tidak boleh diambil kira sebagai jangkaan keputusan perlawanan malam ini.

Yang pasti, kedua – dua pasukan mendambakan mata penuh bagi memastikan sasaran ke Liga Super tercapai musim ini.

Oleh itu, mereka pasti akan memberikan yang terbaik kerana tahu kepentingan perlawanan ini kepada bukan sahaja kedudukan mereka dalam liga, tetapi juga peminat mereka.

Dengan hanya enam pasukan sahaja yang layak di promosikan ke Liga Super dalam Liga Premier musim ini, peluang sesungguhnya amat baik bagi kedua – dua Sarawak United mahupun Kuching City untuk mendapat promosi yang dimahukan. (Pasukan simpanan tidak layak mendapat promosi ke Liga Super dan akan kekal di Liga Premier walaupun memenangi Liga Premier).

Oleh itu, diharapkan kedua – dua pasukan akan memberikan satu perlawanan yang sengit dalam penuh semangat kesukanan malam ini.

 

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top