Tahun 2021 bakal menyaksikan Liga M3 dan Liga M4 yang dikelolakan Amateur Football League (AFL) dirombak formatnya daripada format musim ini.
Menurut kenyataan AFL, 19 pasukan kini telah mengesahkan hasrat untuk bertanding di liga amatur tersebut yang dijadualkan bermula pada Mac 2021.
Pengerusi AFL, YBhg Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi berkata Liga M3 dan Liga M4 akan distruktur semula di mana ia akan melibatkan pindaan format dan sistem pertandingan secara menyeluruh di semua peringkat.
Menurutnya, format terbaharu Liga M3 akan membenarkan sebanyak 24 pasukan bagi menyertai musim 2021 itu nanti.
“Untuk itu, slot tambahan juga akan dibuka kepada pasukan baharu menerusi kerjasama bersama Persatuan Bolasepak Negeri (PBN).” kata Datuk Wira.
“Pengesahan pasukan yang akan bertanding di dalam Liga M3 2021 hanya akan dibuat setelah kesemua dokumentasi disaring sepenuhnya. Proses saringan ini adalah perlu bagi mengenal pasti pasukan-pasukan terbaik dan kompetitif sekali gus menjadi langkah persediaan bagi menyiapkan mereka (pasukan) kearah semi-pro,” jelasnya lagi.
Sebagai langkah untuk memastikan penyertaan bagi musim 2021 terdiri daripada pasukan yang berkualiti terutamanya dari segi pengurusan, setiap pasukan termasuk dari kalangan yang terlibat dalam saingan musim 2020 akan melalui proses saringan ini sebelum penyertaan mereka diterima AFL.
Antara kriteria di dalam Garis Panduan Kelayakan Pasukan Liga yang perlu dipenuhi oleh pasukan baharu ini adalah pemilikan pasukan, butiran lengkap kewangan pasukan dan lain-lain lagi.
Dalam perkembangan sama, pasukan Liga M3 tunggal dari Sarawak, Sarawak FA berkemungkinan akan dijenama semula bagi saingan Liga M3 musim hadapan.
Ini ekoran status pasukan tersebut yang mana merupakan pasukan simpanan kepada Sarawak United FC yang bermain di Liga Premier.
Jika dan apabila dijenama semula kelak, pasukan tersebut akan dikenali sebagai Sarawak United II.