Kelab bolasepak Sarawak United dikhabarkan kini berdepan sekatan perpindahan pemain tempatan dan asing untuk tiga jendela perpindahan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Denda terburuk yang pernah dikenakan ke atas kelab tersebut itu didakwa dikenakan susulan kegagalan kelab tersebut melunaskan tunggakan gaji dan pampasan bekas pemain importnya, Sandro da Silva.
Menurut laporan BHarian, jumlah tertunggak melebihi RM150,000 dan hukuman FIFA itu disahkan oleh peguam Sandro, Mohd Zhafri Aminurashid.
Akhbar tersebut memetik Zhafri sebagai berkata bahawa Sarawak United telah diberi tempoh 45 hari sebelum ini untuk melunaskan tunggakan tersebut, tetapi kelab tersebut telah gagal berbuat demikian sehingga tarikh 18 Jun lalu.
“Keputusan FIFA sudahpun dikeluarkan jadi mereka harus jelaskan pembayaran itu dalam tempoh masa 45 hari iaitu sehingga 18 Jun lalu. Tetapi mereka gagal melakukannya sehingga tarikh yang dinyatakan.
“Jadi pasukan itu dikenakan sekatan perpindahan pemain tempatan dan asing sehingga tiga tempoh pendaftaran pemain secara berturutan,” katanya Zhafri kepada BHarian.
Dalam perkembangan sama, Zhafri juga tidak menolak hukuman lebih ‘teruk’ mungkin dikenakan keatas kelab yang diberi gelaran Kenyalang Emas itu jika perkara tersebut dibawa ke Jawatankuasa Disiplin FIFA.
Setakat kami menulis artikel ini, Sarawak United tidak memberi sebarang reaksi terhadap dakwaan yang dibuat Zhafri, dan tiada kenyataan rasmi berhubung perkara tersebut dikeluarkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mahupun Malaysia Football League (MFL).