Sarawak perlu menang malam ini untuk kekal di Liga Super

Berbaki tiga perlawanan dan menghuni di kedudukan yang tidak selamat, Sarawak ‘wajib’ menang menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam saingan Liga Super di Stadium Negeri di sini, malam ini.

Selepas mengharungi 19 perlawanan, pasukan ‘Bujang Senang’ yang dibimbing jurulatih baru, Fuad Grbesic kini menduduki tempat ke-10 setelah mengutip 15 mata, iaitu perbezaan lima mata daripada ATM yang berada di kedudukan ke-11. Sime Darby pula di tangga tercorot dengan enam mata.

Dua pasukan terbawah dalam saingan Liga Super 2015, akan secara automatik turun ke Liga Perdana musim depan. Fuad berkata selepas mensia-siakan peluang mengutip tiga mata penuh pada pertemuan menentang Sime Darby, Rabu lalu, Sarawak tiada pilihan selain perlu mencatat kemenangan ke atas ATM di laman sendiri.

“Jika kita gagal malam esok (menewaskan ATM), pemain akan berdepan tekanan kerana perlawanan seterusnya menjadi lebih sukar menentang Lions XII pada 19 Ogos di tempat sendiri dan Kelantan pada 22 Ogos di Kota Baharu,” katanya.

Fuad, bagaimanapun yakin pasukannya akan bangkit menewaskan ATM, kerana barisan yang bakal diturunkan akan diperkuatkan dengan kehadiran semula pemain importnya Patrick Nyema Gerhardt yang digantung satu perlawanan, ketika Sarawak seri 1-1 berdepan Sime Darby.

Sumber: BERNAMA

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top