Sarawak hari ini perlu menewaskan pasukan Perak jika ingin terus bersaing di Liga Super.
Selepas skuad Bujang Senang gagal meraih mata penuh pada hujung minggu lepas, skuad bimbingan Robert Alberts kini mendapati diri mereka di dalam kedudukan genting di tangga ke sembilan dengan hanya 13 mata.
Jurang perbezaan mata Sarawak dengan dua lagi pasukan di bawahnya di dalam liga, yakni Kelantan dan ATM, adalah minima dengan kedua-dua pasukan tersebut dilihat berupaya melonjakkan kedudukan mereka dengan dua kemenangan berturut-turut, jika Sarawak sekali lagi gagal meraih mata penuh.
Peminat pada umumnya sudah mula resah dengan kedudukan Sarawak di dalam Liga Super dan ramai sedang menyediakan diri untuk kemungkinan terburuk, yakni menyaksikan Sarawak sekali lagi kembali ke Liga Perdana.
Dalam aksi pertama selepas berehat sebulan Sabtu lalu, Sarawak mempamerkan aksi yang longlai dan terpaksa bertahan sepanjang hampir kesemua 90 minit perlawanan.
Sungguhpun demikian, ketangkasan Mohd Iqbal Suhaimi menjadi sebutan di kalangan peminat kerana beliau telah menyelamatkan maruah Sarawak dengan aksi terbaik beliau.
Perlawanan Sarawak malam ini akan sekali lagi berlangsung lewat, dan skuad Robert Alberts perlu memastikan mereka tidak kempunan mata penuh lagi jika ingin menduduki kedudukan yang lebih selamat di dalam liga.