Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) dikehendaki untuk menjelaskan pampasan berjumlah RM370,000 kepada empat bekas pemainnya yang ditamatkan kontrak tanpa persetujuan pemain musim lalu.
Perintah tersebut dikeluarkan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Status, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Abdul Aziz Yeop Jamaluddin hari ini.
Memetik laporan Berita Harian, wakil FAS dan keempat-empat pemain tersebut telah bersetuju dengan jumlah bayaran pampasan yang perlu dijelaskan walaupun jumlah pampasan tersebut kurang berbanding jumlah sebenar yang sepatutnya dijelaskan.
Keempat-empat pemain yang terlibat ialah K Gurusamy (RM60,000), Mohd Akmal Mohd Noor (RM30,000), K Thanaraj (RM120,000), dan Mohd Iqbal Suhaimi (RM160,000).
Bekas pemain import Sarawak, Gabor Gyepes sebelum ini turut dilaporkan menuntut sejumlah wang pampasan berkenaan isu kontrak yang ditamatkan sebelah pihak beberapa musim lalu.