Sarawak gagal pamer aksi sebenar

Ketua jurulatih Sarawak, Robert Alberts menyifatkan kekalahan pasukan bimbingannya kepada Selangor ketika aksi Liga Super di Stadium Kuching, kelmarin kerana pemain tidak beraksi pada tahap sebenar.

Kekecewaan skuad Bujang Senang bertambah parah kerana mengalami kekalahan dua kali berturut-turut, iaitu Selangor 2-0 dan ketika menentang Pahang di Stadium Darul Makmur, Sabtu lalu dengan jumlah jaringan 3-1.

Alberts berkata, keputusan perlawanan itu tidak seperti yang dijangkakannya, namun tidak menafikan pemain kurang mempamerkan aksi cemerlang termasuk dua pemain import baru, Ryan Griffith dan Hasan Mohamad.

“Seperti yang kita lihat, tidak semua pemain beraksi dengan baik pada malam ini (kelmarin). Ini termasuk kesilapan yang dilakukan sehingga pemain Selangor berjaya membolosi gawang Sarawak.

“Bagaimanapun, mereka sudah mencuba sehabis baik untuk mencari gol tetapi gagal. Apapun Selangor bermain dengan baik dan begitu agresif sehingga berjaya mendapatkan dua gol,” katanya.

Ditanya mengenai prestasi dua pemain import barunya itu, Alberts berkata, kedua-dua pemain itu masih belum dapat mempamerkan tahap sebenar mereka dan berharap bagi perlawanan seterusnya, Griffith dan Hasan boleh beraksi dengan lebih cemerlang.
“Malam ini (kelmarin) adalah penampilan pertama mereka beraksi dan sudah tentu mereka masih belum dapat menyesuaikan diri dengan corak permainan Sarawak,” katanya.

Sumber: Alberts kenal pasti punca Bujang Senang terkulai @ Berita Harian

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top