Pertandingan Piala Borneo tahun ini dibatalkan dan ditunda ke tahun hadapan.

Pertandingan anjuran Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA) itu sepatutnya diadaan pada bulan Mac lalu, namun ianya telah ditunda ke tahun depan.

Presiden SAFA, Datuk Peter Anthony berkata, kejohanan tersebut tidak dapat diadakan tahun ini kerana masih ada kebimbangan berkenaan penularan wabak COVID-19.

“Dalam jadual sepatutnya ia diadakan pada Mac tetapi kita tidak dapat melaksanakan kejohanan kali pertama itu kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta masalah COVID-19,” katanya kepada Astro Arena.

“Bagaimanapun, kita akan lihat keadaan dari semasa ke semasa dan sekiranya tiada halangan ia akan diadakan pada tahun depan, kami akan umumkan nanti sama ada penghujung tahun ini atau awal tahun depan.”

Secara amnya, Piala Borneo yang dimulakan secara rasmi pada 1962 membabitkan tiga pasukan, yakni Sabah, Sarawak, dan Brunei, dengan Sabah paling banyak memenangi pertandingan tersebut.

Ianya dihentikan apabila pasukan – pasukan tersebut bersetuju menyertai Liga Malaysia pada tahun 1989.

SAFA walaubagaimanapun mahu memulakan semula liga tersebut dengan lapan pasukan berentap, yakni Sabah, Sarawak, wilayah-wilayah Kalimantan dari Indonesia, Brunei dan Labuan.