Badi kekalahan pasukan Sarawak FA berterusan di dalam Challenge Cup malam tadi selepas mereka dibelasah 3-0 oleh pasukan pelawat di Stadium Sarawak.

Perlawanan tersebut telah disaksikan 200 penonton di Stadium Sarawak, dengan lebih 20,000 menyaksikan nya melalui aplikasi MyCujoo.

Tips & maklumat berkenaan FPL dari Malaysia

Sarawak yang bermain dengan dua pemain import gagal menandingi kehebatan pasukan Kelantan yang turun dengan semua pemain tempatan pada keseluruhan perlawanan.

Kejutan yang dicanang oleh penolong jurulatih Sarawak FA Denny Da’ail jelas tiak kelihatan apabila Sarawak terus longlai diratah oleh Kelantan yang tampak lebih bersemangat menghadapi cabaran perlawanan tersebut yang disiarkan secara langsung di MyCuJoo.

Kelantan membuka tirai jaringan pada minit ke-35 babak pertama melalui Fauzi Roslan bijak menewaskan perangkap offside untuk gol pertama.

Pada babak kedua, Kelantan menambah gol kedua melalui larian solo Khairul Rizam yang menyaksikan beliau bijak menewaskan barisan pertahanan Sarawak sebelum meledakkan gol kedua pasukan pelawat.

Sarawak cuba bangkit selepas itu namun percubaan berbahaya Firdaus Fauzi sipi dari sasaran pada minit ke-55, manakala rembatan jarak jauh Nor Azizi Ramlee pula jauh terkeluar dari sasaran.

Sarawak terus menyerang dan pemain gantian Abdul Rahim hampir berjaya merapatkan jurang perlawanan, namun Fikri Che Soh bijak menyelamatkan rembatan kencang yang menuju tepat ke arahnya.

Pada minit-minit terakhir, Kelantan menambah duka pasukan tuan rumah apabila Fauzi sekali lagi menjaringkan gol, kali ini melalui set-piece sepakan sudut yang disudahkan dengan tampanan menarik yang menewaskan Andy Nicholas, sekaligus mengakhiri perlawanan dengan keputusan Kelantan 3 – 0 Sarawak.