PETALING JAYA – Legenda bola sepak dunia, Luis Figo menyifatkan beliau agak kesal apabila ada segelintir pihak cuba meletakkan kelemahan bola sepak negara di bahu Pengerusi Malaysian Football League (MFL), DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim.

Tanpa berselindung, bekas pemain Barcelona dan Real Madrid yang kini bertugas sebagai Penasihat Bolasepak Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA), tampil mempertahankan kredibiliti Tunku Ismail yang dianggapnya sebagai ‘Bapa Permodenan Bolasepak Malaysia’.

Tips & maklumat berkenaan FPL dari Malaysia

Jelas pemenang anugerah Ballon d’Or pada tahun 2000 itu, beliau segera menghubungi Tunku Ismail bagi memberikan kata-kata semangat kerana percaya baginda adalah tokoh paling layak untuk memacu bola sepak negara khususnya Liga Malaysia ke tahap lebih tinggi.

“Saya ada terbaca ‘posting’ kurang baik mengenai tindakan pihak-pihak tertentu yang mengkritik kredibiliti Tunku Ismail dan juga MFL yang diterajuinya menerusi laporan berita ‘online’. Lalu saya terus menghubungi Tunku Ismail di mana saya memberikan kata-kata semangat kepada baginda.

“Pada saya, jika anda mahu liga menjadi lebih baik, kelab perlu mengikuti semua keperluan dan peraturan liga.

“Apa yang dilakukan Tunku Mahkota Johor adalah betul dan berada dalam landasan tepat. Jika kelab tidak mematuhi peraturan dan keperluan liga, liga tidak akan bertambah menjadi semakin baik,” katanya kepada MFL, semalam.

Dalam perkembangan sama, Figo yang pernah menjulang trofi Liga Juara-Juara pada tahun 2002, menaruh keyakinan tinggi terhadap kepimpinan Tunku Ismail mengendalikan Liga Malaysia namun ia tidak datang bergolek begitu sahaja jika semua rakan kongsi liga tidak mahu bergerak seiring dengan perancangan MFL.

Kata Figo, kesungguhan dan kerja keras Tunku Ismail ketika mempromosi nama Liga Malaysia di seluruh dunia telah menarik perhatiannya di mana beliau optimis baginda seharusnya diberikan penghargaan dan bukannya cuba mengambil kesempatan menuding kesalahan kepada Tunku Ismail.

“Saya juga pernah berjumpa dengan pihak pengurusan MFL terutama Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam dan saya berasa bahawa pengurusan MFL di bawah kepimpinan Tunku Ismail sememangnya profesional.

“Jadi saya berasa terpanggil untuk memberikan kenyataan di mana saya mahu terus memberikan sokongan kepada MFL di bawah pucuk pimpinan Tunku Ismail yang sememangnya sudah berada di landasan tepat,

“Tunku juga telah meletakkan penanda aras yang begitu realistik dengan menjadi pemacu utama kepada kelab-kelab lain apabila membawa wakil Malaysia ke arena gah antarabangsa Asia seperti Liga Juara-Juara Asia (ACL) buat julung kalinya dan saya percaya pasukan lain juga boleh melakukannya jika terus berusaha,” ujarnya.