Dalam majlis pelancaran jersi dan pengenalan pemain Sarawak United FC kelmarin, Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS), Posa Majais berkata bahawa sebuah syarikat Harini Sdn Bhd adalah penaja kepada pasukan Sarawak FA yang juga dikenali sebagai Sarawak United II.
Syarikat Harini bukan asing di dalam liga bola sepak Malaysia dengan syarikat tersebut juga pernah menaja pasukan Liga M3 Protap FC.
Selain daripada itu, syarikat Harini juga pernah menganjurkan Liga Harini di Perlis seperti yang dilaporkan laman bola sepak Semuanya BOLA dengan pasukan liga berkenaan menjadi gelanggang memilih pemain untuk mewakili pasukan Perlis FC.
Menurut laporan Semuanya BOLA itu, Perlis FC merupakan hasil jelmaan daripada Liga Harini dan ianya telah ditubuhkan oleh syarikat Harini.
Menariknya, pasukan Batu Dua FC juga bersangkut paut dengan Harini selepas syarikat tersebut mengambil alih pengurusan Baru Dua pada penghujung tahun lepas.
Dalam perkembangan sama, pasukan Batu Dua FC telah dijenama semula kepada Harini FC, dan akan bermain di Liga M3, yakni liga yang sama dengan Sarawak FA.
Buat masa ini jumlah tajaan Harini untuk pasukan Sarawak FA tidak diketahui, namun syarikat yang bertapak di Kuala Selangor itu jelas berminat dan mahu menaja pasukan-pasukan Liga Malaysia.