Tamat sudah cabaran Sarawak dalam kempen Challenge Cup 2018 apabila menghuni tangga tercorot kumpulan A dibelakang pasukan TFC2, UKM FC dan Negeri Sembilan.
2018 adalah musim yang sangat menyedihkan untuk pasukan Sarawak. Tiada apa yang dapat dibanggakan dan hanya cerita negatif yang menyelubungi pasukan ini.
Apa yang boleh dijangkakan untuk musim 2019. Ini adalah beberapa perkara klise yang pasti akan dibuat oleh FAS. Saya berharap perkara ini tidak terjadi tetapi terpulang kepada pengurusan pasukan.
Menjelang 2019, FAS pasti akan mengadakan kempen pra-musim di Australia. Mengapa Australia? Pertama kerana dikatakan menentang pasukan kelab Australia boleh memberi pendedahan yang positif kepada pasukan. Tetapi betulkah perkara itu atau kerana pegawai atasan hanya ingin makan angin di Australia dengan percuma?
Kedua kerana FAS ingin mencari pemain import dari Australia. Alasan yang sering digunakan tetapi sejak John Hunter, siapa lagi pemain Australia yang benar-benar memberi impak kepada pasukan.
Cukuplah berdrama. Guna sahaja bakat tempatan dengan bajet yang sedia ada. Tetapkan KPI yang jelas kepada pasukan dan penyokong. Tidak perlu layak ke Liga Super dahulu tetapi cukup untuk kekal di Liga Perdana dan membina semula pasukan.
Swastakan pasukan. Yakinkan penaja untuk melabur didalam pasukan dan kurangkan kebergantungan kepada kerajaan negeri mahupun Tunku Mahkota Johor. Ini bola sepak moden dan ia perlu dianggap sebagai perniagaan.
Buka keahlian kelab kepada penyokong. Mereka pasti mempunyai idea dan cadangan yang mampu membawa pasukan ke tahap yang lebih tinggi. Jenguk-jenguk jiran sebelah bagaimana mereka mengurus pasukan bola sepak mereka.
Tidak perlu membazir ke Australia. Cukup adakan perlawanan persahabatan dengan kelab Indonesia di Kalimantan. Corak permainan mereka lebih kurang dengan Sarawak dan ia mampu menjadi kayu pengukur yang lebih tepat kepada kita. Fikir-fikirkanlah. – SARAWAKCROCS.COM/JJF