Sani bakal cabar Farizal

Kecederaan pangkal paha yang melanda Khairul Fahmi Che Mat dan kemerosotan prestasi Norazlan Razali bersama pasukan Selangor nyata memberi hikmah tersendiri kepada penjaga gol Sarawak, Sani Anuar Kamsani apabila namanya kembali dipanggil untuk menjalani latihan bersama Harimau Malaya.

Berusia 30 tahun, Sani sebenarnya bukanlah satu nama yang asing dalam kancah bola sepak tempatan dan pemilihannya menganggotai skuad kebangsaan dilihat sebagai satu keputusan tepat setelah dengan apa yang dipamerkan bersama skuad Bujang Senang sepanjang saingan Piala Malaysia dan Liga Perdana.

Bagi jurulatih penjaga gol negara, Mohd. Faozi Mukhlas, dia melihat kehadiran Sani akan memberikan saingan kepada pilihan utama di gawang negara ketika ini, Farizal Marlias, selain penjaga gol Kedah, Abdul Hadi Hamid yang turut dipanggil untuk menggantikan Khairul Fahmi.

‘‘Daripada segi saiz, dia (Sani) tidak banyak beza dengan penjaga gol lain, namun dia ada perwatakannya yang tersendiri serta tidak boleh dibandingkan dengan Farizal atau Khairul Fahmi.

‘‘Kita tidak boleh jadikan Sani seperti Khairul Fahmi kerana dia ada kualiti yang berbeza dengan kedua-dua pemain ini.

“Saya sendiri melihat dia seorang penjaga gol yang baik ketika pernah mewakili Harimau Muda beraksi pada kejohanan Bawah 19 tahun suatu ketika dahulu. Kejohanan itu turut disertai Brazil, Paraguay dan Korea Selatan.

‘‘Dia seorang penjaga gol yang pantas daripada segi refleks dan cepat mengambil kembali posisi asal setelah menyelamatkan bola daripada kawasan berbahaya, ” katanya ketika ditemui di padang Wisma FAM selepas sesi latihan pasukan kebangsaan, semalam.

Sementara itu, Sani mengakui terkejut apabila namanya dipanggil kerana tidak pernah terlintas dalam fikirannya mampu memecah penguasaan tiga dominasi Khairul Fahmi, Farizal dan Norazlan.

‘‘Mungkin aksi saya bersama Sarawak dalam Piala Malaysia membuatkan jurulatih terfikir mahu memanggil saya dan peluang ini saya akan gunakan sebaiknya untuk mencuri hati mereka.

‘‘Semua orang ada keinginan untuk mewakili negara dan saya harap dapat akan ada ‘cap’ pertama saya bersama Harimau Malaya, dah lama saya impikan peluang ini.

‘‘Walaupun sedar sukar bersaing dengan Farizal untuk tempat dalam kesebelasan utama kerana dia sudah lama berbanding saya, itu bukan alasan buat saya berasa takut, ” kata bekas penjaga gol Negeri Sembilan dan Selangor ini.

Malaysia akan bertemu China dalam aksi persahabatan, 10 September ini.

-Utusan Melayu

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top