Sabah gagal ‘kaut’ peluang. Tewas kepada Sri Pahang

Kelab bola sepak Sabah malam tadi telah tewas tipis kepada Kelab Bola Sepak Sri pahang di dalam perlawanan Liga Super ke-empat kedua – dua pasukan.

Sabah yang masih mencari kemenangan di dalam Liga Super, berjaya mengekang lawan mereka sehingga berakhir babak pertama namun telah dibolosi dua gol pada babak kedua.
Yevhen Bokhashvili menyumbang gol pertama pada minit ke-55 sebelum Lee Tuck menanduk masuk gol kedua Pahang pada minit ke-70.

Pemain sayap Indonesia, Saddil Ramdani merapatkan jurang buat Sabah pada minit ke-80.

Dalam ulasan selepas perlawanan, ketua jurulatih Sabah FC, Kurniawan Dwi Yulianto menyatakan bahawa pasukan beliau masih belum mencapai kekuatan sebenar kerana pemain import belum cerdas sepenuhnya.

“Kita tahu import kita baru keluar kuarantin jadi mereka belum bersedia, jadi kita hanya memainkan mereka pada babak kedua. Pada babak pertama kita tewas di bahagian tengah dan kita menukar mengikut perancangan perlawanan kami” jelas Kurniawan.

Kurniawan juga menyatakan bahawa pasukan bimbingannya mempunyai banyak peluang namun penyudah pasukannya tumpul.

“Pasukan kami sebenarnya banyak peluang.

“Kita ada empat bahkan lima yang sepatutnya jadi gol.

“Tetapi yang menjadi permasalahan adalah bagaimana mereka menggunakan peluang tersebut.

“Kita sudah ingatkan dari awal apa pun peluang perlu diselesaikan, mungkin akan jadi gol atau tidak.

“Kami juga kecewa dengan dua gol yang terjadi kerana ianya terjadi disebabkan kesilapan kami sendiri.” ulasnya lagi.

Kurniawan dalam pada itu juga mengakui bahawa suasana bilik persalinan Sabah selepas perlawanan agak muram kerana semua kecewa dengan kekalahan tersbeut.

“Semua pemain sangat kecewa tetapi inilah bola sepak. Kita banyak peluang tetapi gagal menjaringkan gol tetapi mereka ada dua peluang dan menjaringkan gol.

“Tiada guna penyesalan selepas perlawanan kerana kita tidak boleh mengubah keadaan.  Yang penting adalah cara untuk bangkit.” katanya lagi.

Sabah FC kini di kedudukan kedua terbawah Liga Super dengan hanya satu mata.

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top