Kelab bola sepak Sabah hari ini mengumumkan pemegang saham terbesar kelab bola sepak tersebut hari ini.

Dalam kenyataan di media sosialnya, Sabah FC yang dimiliki sepenuhnya oleh Sabah Football Club Sdn. Bhd kini sah menjadi milik Dato Verdon Bahanda selepas beliau sah memegang 70 peratus saham kelab tersebut.

Verdon yang juga merupakan Pengarah merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sabah FC sejak 12 November lalu disahkan sebagai pemilik syer tertinggi syarikat bola sepak tersebut selepas perkara itu diputuskan sebulat suara Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) dalam mesyuarat AMT SAFA baru-baru ini.

Pemegang syer kedua terbesar syarikat Sabah FC Sdn Bhd adalah Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA).

SAFA sebelum ini adalah pemilik penuh syarikat Sabah FC.

Sementara itu, Verdon turut memberi jaminan bahawa kedudukannya sebagai pemegang saham terbesar Sabah FC bukan untuk “suka-suka” tetapi demi kemajuan bola sepak negeri Sabah.

Tambahnya “kehadiran saya di dalam pasukan bukanlah untuk menyusahkan tetapi sebagai pemudah cara kepada semua pemain, jurulatih serta pihak pengurusan kelab”.

“Kalau untuk kepentingan sendiri saya tidak akan belanjakan berjuta-juta ringgit duit saya sendiri”, “Apa yang penting, kerjasama padu dalam kalangan pemain, jurulatih dan pihak pengurusan pasukan” kata Verdon dalam kenyataan Sabah FC di media sosial.

“Saya mahu pihak pasukan jurulatih mencipta rentak sendiri iaitu cara pasukan Sabah FC bermain dan mewujudkan program jangka panjang yang bukan sahaja melibatkan pemain-pemain yang ada sekarang tetapi juga pembangunan akar umbi yang kini dibawah bidang kuasa Sabah FC” kata Verdon lagi.

Dalam perkembangan sama, Verdon juga menyatakan bahawa Sabah FC akan bebas dari penglibatan politik.

“Saya boleh bagi jaminan tidak akan boleh berlaku penglibatan politik, sesiapa yang cuba bermain politik dalam Sabah FC mereka berpotensi untuk tinggalkan Sabah FC” jelas Verdon.