Sabah FC perlu perbaiki fokus ketika ‘set-piece’

Kelalaian semasa menangani asakan lawan daripada situasi bola mati membuatkan Sabah FC terpaksa berputih mata untuk meraih tiga mata penuh di laman sendiri apabila sekadar seri 2-2 dengan Kuala Lumpur City FC.

Ketua jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee, berkata, dia mahu kelemahan itu mampu diperbaiki bagi mendapatkan semula rentak kemenangan buat pasukan selepas dua perlawanan.

Bagaimanapun, beliau tetap berikan pujian kepada barisan pemain yang tidak kenal erti putus asa dan berjaya bangkit sebanyak dua kali dari ketinggalan.

” Kita hilang fokus ketika set-pieces dari situasi sepakan percuma di mana dua jaringan pasukan Kuala Lumpur menyebabkan kita sentiasa ketinggalan dan ini satu kelemahan yang perlu kita perbaiki.

” Kuala Lumpur sebuah pasukan yang bermain secara taktikal dengan cukup baik, mereka hadir untuk dapatkan satu mata dan berjaya manakala kita gagal sempurnakan banyak peluang terhidang yang menyebabkan kita gagal meraih kemenangan.

” Sejak lima perlawanan lepas kita sentiasa ketinggalan dan pujian harus diberi daripada segi semangat juang tinggi ditunjukkan para pemain di mana mereka sentiasa berusaha dapatkan gol.

” Mereka berjaya bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk kembali semula dalam perlawanan, ini satu sikap positif yang ditunjukkan para pemain kita,” katanya.

Dalam satu-satunya perlawanan yang berlangsung pada Khamis, Giancarlo Gallifuoco meletakkan KL City pada minit ke-4 sebelum Dominic Tan menyamakan kedudukan pada minit 47.

Pemain tengah KL City, Akram Mahinan kembali memberikan kelebihan kepada pelawat tetapi Saddil Ramdani menyelamatkan maruah Sabah melalui sepakan percuma menarik pada minit 85.

Keputusan seri itu nyata tidak banyak membantu Sabah untuk merapatkan kedudukan dengan pendahulu, JDT, kerana selain jurang lima mata, mereka sudah mempunyai kelebihan dua perlawanan.- MFL

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top