Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) akan mula menitikberatkan pembangunan bola sepak kata presidennya Datuk Peter Anthony.

Menurut Anthony, fokus kepada pembangunan bolasepak, khususnya di peringkat akar umbi oleh SAFA dilakukan bagi membolehkan Sabah kembali menjadi satu kuasa besar bola sepak di Malaysia.

Tips & maklumat berkenaan FPL dari Malaysia

Peter dipetik akhbar New Sabah Times sebagai berkata “Sebagai persatuan bola sepak untuk Sabah, objektif utama kita adalah untuk memperbaiki aras bola sepak di Sabah sambil kita bekerja ke arah menjadikan Sabah kuasa bola sepak di Malaysia.

“Dengan selesainya pemilihan exco tertinggi SAFA, kita kini boleh mula fokus merancang program selaras dengan objektif utama kita.”

Dalam perkembangan sama, Peter juga mengumumkan bahawa SAFA akan menilai semula tradisi pengurusan wang geran yang diterima dari Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Beliau berkata bahawa geran dari FAM pada amnya sering dimasukkan ke satu akaun untuk tujuan pembiayaan pasukan bola sepak Sabah, namun beliau mahu dana tersebut diguna pakai dengan lebih baik lagi.

Adalah difahamkan bahawa SAFA mahu menggunakan dana dari FAM untuk program pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi Sabah.

Peter dipetik sebagai berkata “Menjadi rutin tradisi dari pengurusan lama untuk kita menggunakan geran yang diberi oleh FAM untuk tujuan pengurusan pasukan di dalam liga namun dengan pengurusan baharu, kita mahu cara penggunaan dana ini dibuat dengan lebih effisen.”