Berita perpindahan Rozaimi Abdul Rahman ke Sarawak FA atau Selangor FA berkemungkinan hanya rekaan semata-mata apabila ‘sumber terdekat’ kepada SarawakCrocs.com mendedahkan bahawa Rozaimi masih memiliki kontrak setahun bersama skuad Sabah FA.
Menurut sumber kami yang mengakui dirinya arif tentang perihal Rozaimi, penyerang kelahiran Sabah itu sememangnya ingin dan mahu ke Sarawak, namun peluang dan kesempatan yang kurang sempurna sentiasa timbul, dan ini termasuklah faktor penglibatan Rozaimi di dalam skuad Harimau Muda dan Sabah FA.
Tambah sumber tersebut lagi, terdapat banyak faktor yang mengakibatkan Rozaimi ingin ke Sarawak, termasuklah hakikat bahawa beliau senang dengan pengurusan bolasepak Sarawak, dan kewujudan keluarga angkat di Kuching yang baik.
Menurut sumber tersebut, sungguhpun demikian, Rozaimi buat masa ini hanya mahu memberi fokus kepada kembali cergas agar boleh bermain semula, dan isu pemilihan pasukan tidak timbul setakat ini.
Sumber tersebut juga menyebut bahawa jika Sarawak sekalipun menandatangani Rozaimi, persatuan mungkin terpaksa membayar pampasan yang besar kerana Rozaimi masih milik Sabah FA sehingga dia dilepaskan oleh persatuan tersebut.
Sungguhpun demikian sumber tersebut mengakui beliau tidak tahu menahu berkenaan jika Rozaimi telah dilepaskan oleh Sabah FA bagi 2015, ataupun terdapat pihak lain (Selangor FA) yang telah menebus kontrak pemain tersebut.
Sebelum ini telah timbul banyak khabar angin berkenaan perpindahan Rozaimi ke Stadium Negeri, namun belum ada informasi sah dari mana-mana pihak berkenaan status sebenar pemain tersebut.
Rozaimi pernah menyarung jersi Sarawak pada 2010 sebelum menjadi penyerang muda paling sensasi di peringkat kebangsaan.