Reviu Challenge Cup: Apa yang berlaku semasa lawan UKM FC

Sepuluh minit yang gila. Lima kali laungan gol bergema. Satu sosok menghancur segala.

Dan baru saja perlawanan pertama Kumpulan A Challenge Cup 2018, siapa sangka keputusan ini derita untuk diterima.

Pasukan Sarawak tumpas teruk 5-1 di tangan pasukan UKM FC di Stadium Selayang, semalam. Gol tunggal Sarawak dijaringkan oleh Dzulazlan.

Lima gol UKM oleh Michael Ijezie, tiga daripadanya dijaringkan tempoh 10 minit pada separuh masa kedua. Wah, bagaikan bermain bola petang di padang perumahan!

Perlawanan separuh masa pertama agak seimbang kerana kedua-dua fokus untuk memburu gol. Gol seawal minit kelima oleh UKM memulakan rentak kegarangan Sarawak yang kemudiannya berhasil menyamakan kedudukan pada minit ke-10. UKM nampaknya boleh ditewaskan dengan lorongan dan permainan meyakinkan, akan tetapi penyudah Sarawak amat tumpul memanfaatkan sekurang-kurangnya tiga gol.

Mesej jelas daripada jurulatih, Ian Gillan ialah meminta pemain lebih fokus dan bermain dengan lebih baik pada separuh masa kedua.

Tetapi tempoh masa tersebut seakan neraka buat Sarawak. Permainan tidak menjadi, taktikal huru-hara dan keupayaan teknikal pemain menjadi persoalan. Dari segi pertahanan, ianya goyah dan lambat menutup serangan yang mengakibatkan gol-gol mudah UKM. Selain itu, kecenderungan memulakan serangan dari tengah tidak menjadi, mengakibatkan serangan terbantut.

Pujian harus diberikan kepada UKM FC atas permainan yang bagus pada perlawanan ini dengan taktikal kemas, bersepadu dan pantas.

Amat memalukan apabila pasukan berstatus negeri tewas dengan pasukan universiti. Memang jelas kelihatan sesuatu di luar padang yang mengganggu fokus pemain. Ini seakan mengesahkan khabar kewangan yang meruncing, dan keharmonian dalam pasukan yang terjejas juga dikatakan antara isu.

Sekarang, lupakan epik “horror” di Selayang. Persiapkan pasukan untuk perlawanan seterusnya menentang Terengganu FC II di Kuching. Bangkitlah Sarawak. – SARAWAKCROCS.COM/RSI

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top