“Sarawak akan meneruskan rentak kemenangan apabila bertemu Kelantan kelak”, begitulah kata-kata Fadzley Rahim, penjaga gol muda Sarawak yang kini mendapat kepercayaan Robert Alberts untuk diturunkan sebagai kesebelasan utama.
Menurut Fadzley, beliau amat yakin bahawa semua pemain Sarawak akan memberikan yang terbaik untuk perlawanan Jumaat ini sambil memberitahu pihak SarawakCrocs.com bahawa rakan seperjuangan beliau akan turut berusaha membantu beliau mendapat ‘clean sheet’ yang pertama bagi beliau di dalam liga.
Fadzley turut berkata bahawa ‘clean sheet’ bukanlah keutamaan bagi beliau semasa perlawanan kerana yang lebih penting adalah beliau memberikan yang terbaik, dan pasukan memungut tiga mata penuh.
Beliau turut menambah bahawa memastikan gawang tidak dibolosi bukanlah sesuatu yang mudah, dan amat berterima kasih kepada semua pemain Sarawak lain yang tidak pernah putus membantu beliau belajar dan mempertahankan gawang Sarawak.
Fadzley dijangka akan diturunkan lagi sebagai penjaga gol utama Sarawak Jumaat ini apabila Sarawak berkunjung ke Kota Bharu untuk bertemu Kelantan.