Reaksi perlawanan: Sarawak United 2 – 0 Kuching City

Perlawanan seteru setempat, Sarawak United dan Kuching City malam tadi berakhir dengan Sarawak United akhirnya berjaya menewaskan Kuching City di dalam satu perlawanan di peringkat Liga Premier.

Jika diperhatikan, rekod pertembungan kedua – dua pasukan kini seimbang dengan kedua – dua pasukan sudah berjaya menang ke atas lawan mereka sebanyak dua kali sejak kedua – dua pasukan mula bertemu di Liga M3 (pada masa itu Sarawak United dikenali sebagai Selangor United).

Di sini adalah ulasan ringkas kami berkenaan perlawanan malam tadi.

Sarawak United ampuh di hampir semua bahagian

Sarawak United sememangnya hadir dengan reputasi sebagai pasukan pilihan dalam perlawanan malam tadi.

Biarpun rekod lampau tidak memihak kepada pasukan Sarawak United, namun pasukan bimbingan E. Elavarasan ini bukanlah pasukan yang sama seperti musim – musim sudah.

Ini dapat diperhatikan malam tadi dimana pasukan Sarawak United, atau diberi jolokan Kenyalang Emas, kelihatan terancang, dan menggunakan taktik serangan kilat untuk memerangkap pasukan lawan mereka.

Di bahagian pertahanan, kekentalan benteng pertahanan Sarawak United yang diterajui ketua pasukan taylor Regan jelas, apabila pemain pasukan Kuching City dilihat tidak mampu menembusi pintu gol yang dikawal bekas penjaga gol kebangsaan Mohd Sharbinee Allawee bin Ramli.

Di bahagian hadapan, Uche Agba tidak mengecewakan dengan gandingan beliau bersama Tommy Mawat, Norshahrul Idlan Talaha, Nur Shamie Iszuan dan Tommy Mawat seringkali mengucarkacirkan barisan pertahanan Kuching City apabila serangan kilat dilakukan.

Yang jelas, Elavarasan bijak memastikan pemain beliau tidak cepat penat dengan mengadaptasi taktikal serangan kilat apabila bertemu Kuching City, dan ini telah menyaksikan pasukannya memenangi perlawanan biarpun kurang mengawal bola, mahupun perlawanan.

The Cats perlu perbaiki stamina dan perlukan seorang penyerang

Kuching City pula membariskan pemain yang hampir sama seperti musim lepas.

Menariknya, Kuching City tidak menurunkan penyerang importnya, Bryan Jones pada babak pertama, sekaligus menyaksikan Kuching City amat tumpul di bahagian serangan pada babak pertama.

Biarpun demikian, Kuching City telah menyajikan satu permainan yang menarik dengan membuat hantaran – hantaran tepat dan berkualiti sepanjang babak pertama perlawanan.

Walaupun bolos dua gol pada babak pertama, Kuching City dilihat mengawal perlawanan dan serangan – serangan menarik ke kubu Sarawak United.  Penyudah yang terlalu tumpul walaubagaimanapun menyaksikan Kuching City gagal menjaringkan gol.

pada babak kedua, Kuching City telah membuat dua pertukaran penting, yakni memasukkan Hairol Mokhtar dan Byan Jones. Dua pemain ini jelas memberi impak kepada pasukan The Cats ini apabila mereka mula lebih tajam dalam serangan – serangan ke gawang gol Sarawak United.

Sungguhpun demikian, babak kedua juga menyaksikan pemain Kuching City mula ‘pancit’, dan ini mengganggu rentak serangan pasukan tersebut, dan membuka ruang kepada Sarawak United melakukan lebih banyak serangan kilat.

Kuching City walaubagaimanapun hampir mendapat beberapa peluang keemasan melakukan jaringan, namun Yuta Suzuki dan Hairol Mokhtar gagal menyempurnakan peluang tersebut biarpun peluang sudah terhidang luas.

Kesimpulan

Walaupun pada awalnya perbezaan kualiti Sarawak United dan Kuching City dilihat agak besar jika dibandingkan di atas kertas, ianya tidak kelihatan di dalam perlawanan malam tadi.

Biarpun pasukan Kenyalang Emas menang, pasukan The Cats jelas mampu menyaingi pasukan tersebut dan boleh dikatakan mengusai hampir 60 – 70% perlawanan.

Dengan kedua – dua pasukan menampilkan rata – rata pemain yang agak berumur, perbezaan taktikal dilihat telah memberikan kemenangan kepada pasukan tuan rumah, yakni Sarawak United.

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top