Kelab Liga Premier Sarawak United malam tadi berjaya mengikat kelab Liga Super Sabah FC dalam pertemuan pra-musim pertama kedua – dua pasukan.
Kejayaan mengikat kelab se-Borneo itu memberi gambaran awal persediaan kedua – dua pasukan.
Di sini, suka kami simpulkan berkenaan apa yang boleh diambil dari perlawanan malam tadi.
Sabah FC mantap walaupun tanpa pemain import utama
Sabah FC turun tanpa empat pemain import baharunya ketika perlawanan malam tadi.
Beraksi dengan rata – rata pemain kelahiran Sabah, hanya Park Taesu bukan pemain kelahiran Malaysia dalam pasukan yang dibimbing Kurniawan Dwi Yulianto.
Sungguhpun demikian, keampuhan Sabah jelas pada babak pertama apabila pemain – pemain Sabah dengan diketuai bobby Gonzales, Maxsius Musa dan Amri Yahyah rancak membuka ruang dan membuat percubaan berbahaya kearah pintu gol Sabah.
Turut mencuri tumpuan adalah Alto Linus yang melakukan beberapa gerakan berbahaya untuk pasukan Sabah.
Hasilnya adalah jaringan tunggal Sabah daripada Bobby pada minit ke – 46.
Daripada babak pertama, Sabah jelas mempunyai kawalan bola dan juga hantaran bola lebih baik dari pemain Sarawak United.
Disamping itu, kekebalan barisan pertahanan Sabah menyaksikan serangan Sarawak United mudah dipatahkan.
Sarawak United bangkit pada babak kedua
Babak pertama sememangnya milik penuh Sabah, namun babak kedua milik Sarawak United.
Sarawak United nampaknya tidak menurunkan barisan terkuat mereka pada babak pertama dengan pemain – pemain ternama seperti Lee Chang Hoon, Tommy Mawat dan Norshahrul Idlan Talaha menyaksikan perlawanan dari tepi padang sebagai pemain gantian.
Pada babak pertama, Sarawak United banyak menumpukan kepada serangan dari sebelah sayap, namun sekatan acap kali berjaya dilakukan oleh pemain Sabah bagi menggagalkan sebarang percubaan berbahaya dari S Chanturu dan Gopi Rizqi Rama Chandra.
Kemasukan pemain – pemain seperti Tommy, Lee Chang Hoon dan Norshahrul pada babak kedua jelas menukar rentak Sarawak United yang berubah menjadi lebih aggresif dan bertenaga pada babak kedua.
Hasilnya, Sarawak United berjaya menyamakan kedudukan melalui Lee Chang-hoon pada minit ke-75, juga melalui sepakan penalti.
Perlawanan terus menjadi milik Sarawak United sehingga ke akhir wisel penamat, namun jelas kelihatan bahawa Sarawak United adalah satu pasukan berbeza pada babak kedua itu.
Peningkatan jelas dilihat dalam hantaran bola dan juga kawalan bola di kalangan pemain Sarawak United.
Biarpun nampak keserasian pemain masih belum sempurna berbanding Sabah, namun kualiti permainan yang ditunjukkan jelas lebih baik berbanding tahun – tahun sudah.
Bukan kekuatan sebenar kedua – dua pasukan
Sememangnya aksi pemanas badan mala tadi bukan ukuran sebenar Sabah dan Sarawak United.
Kedua – dua pasukan tidak menurunkan kesemua pemain import mereka, dan kesan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang baru sahaja membenarkan latihan bagi kelab – kelab bola sepak jelas kelihatan.
Apapun, jika diperhatikan dari segi kualiti permainan kedua – dua pasukan, ianya adalah satu peningkatan dari musim lepas, dan tidak hairanlah jika kedua – dua pasukan mampu mencabar dalam liga masing – masing musim ini.
Sabah FC 1 – 1 Sarawak United FC