Posa letak jawatan Presiden FAS pada Januari 2023

Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) Posa Majais hari ini dilaporkan telah mengesahkan akan meletak jawatan dalam Kongres Exco FAS yang dijadual pada bulan Januari 2023 kelak.

Menurut laporan media tempatan, Posa bersedia mengumumkan pengundurannya secara rasmi pada kongres tersebut kelak.

Adalah difahamkan bahawa barisan exco FAS sudah dimaklumkan dan Posa akan menyerahkan kepada ahli gabungan berkenaan penggantinya.

Posa dalam pada itu menyatakan bahawa sesiapa sahaja boleh menyatakan minat menjadi Presiden FAS, namun perlu dicalonkan dan disokong oleh ahli gabungan untuk menjawat jawatan tertinggi bola sepak Sarawak itu.

Sebelum ini, tiga individu telah dikaitkan dengan jawatan presiden FAS, yakni mantan Setiausaha Agung FAM, Abang Zulkarnain, Presiden Persatuan Tinju Sarawak, Dato Rahman Lariwoo, dan Abang Suhordie, yang merupakan Presiden FA Betong.

Posa telah sebelum ini menyatakan sokongan terhadap Sohordie untuk mengambil alih jawatan Presiden FAS.

Biarpun Posa kini telah mengesahkan pengundurannya, persoalan yang bermain di minda ramai adalah nasib Kelab Bolasepak Sarawak United yang dimiliki Posa kerana Posa telah sebelum ini memberi gambaran bahawa presiden FAS yang baru perlu juga mengambil alih kelab tersebut sekiranya berjaya dipilih.

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top