PETALING JAYA, 28 April: Malaysian Football League (MFL) menempelak tuduhan tidak berasas Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS), Datuk Posa Majais terhadap pentadbir Liga Malaysia itu.
Biarpun MFL tidak menamakan mana-mana individu, MFL mendedahkan dua lampiran berkaitan polisi insuran pasukan dan akaun kewangan milik MFL yang sebelum ini menjadi pertikaian Posa terhadap kredibiliti MFL.
Jelas MFL, menerusi dua lampiran yang dilampirkan jelas membuktikan dakwaan yang dibangkitkan oleh Posa tidak mempunyai asas kukuh dan tidak bertanggungjawab untuk mencalarkan imej serta kredibiliti MFL.
Justeru, MFL tampil mengesahkan bahawa mereka telah memberikan perlindungan insurans kepada semua pasukan yang sebelum ini memohon untuk mendapatkan perlindungan insurans bermula pada tarikh 10 Januari 2019 sehingga 10 Januari 2020 dan bukannya seperti yang didakwa Posa yang menuduh MFL mengabaikan polisi insuran rakan kongsi mereka.
“Berdasarkan surat pengesahan yang dilampirkan itu jelas tiada sebarang tunggakan bayaran berlaku.
“Harus diingat bahawa ada pasukan yang telah memilih untuk tidak mengambil insurans pusat yang disediakan oleh kerana pasukan itu mungkin sudah ada penaja insurans atau mempunyai insurans pusat dari badan pemilik pasukan itu.
“Sementara itu, Pegawai Pematuhan MFL, Desmond Dominic Raju mendedahkan akaun 2017 telah diaudit oleh juruaudit bertauliah dan butiran akaun itu sudah diedarkan pada Mesyuarat Rakan Kongsi MFL ke-2 pada 25 Mac 2018.
“Akaun kewangan MFL bagi 2018 juga sudah selesai diaudit dan diserahkan serta diluluskan oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL pada 15 Mac 2019 di mana akaun 2018 itu menunjukkan MFL meraih keuntungan sebanyak RM1.48 juta.
“Akaun kewangan MFL 2018 yang sudah diaudit akan diedarkan pada Kongres MFL seterusnya. Ini adalah yang telah dipraktikkan dahulu dan akaun MFL yg diaudit sentiasa diedarkan kepada semua rakan kongsi MFL sebagai “standard practice” dan tanpa perlu dicabar,” kata MFL, hari ini.
Dalam perkembangan sama, MFL menegaskan mereka tidak akan memberikan sebarang respons terhadap apa-apa desakan atau ugutan melalui atau saluran di media massa oleh mana-mana pihak.
Ini kerana MFL lebih berminat untuk menggalas tanggungjawab dan mengekalkan hubungan kerjasama dengan 24 pasukan yang bertanding serta menjaga kepentingan rakan kongsi MFL.
“MFL sentiasa terbuka dengan sebarang cadangan atau pertanyaan namun ia perlu dilakukan menerusi saluran yang betul dan percaya semua pihak khususnya rakan kongsi MFL sedia maklum mengenai perkara ini.
“Jelas di sini MFL tidak berminat untuk menggalakkan perbuatan sebegini oleh mana-mana individu atau pasukan di mana jika MFL respons maka individu atau pasukan tersebut memberikan reaksi secara tidak bertanggungjawab, ia sudah pasti akan memberikan kesan kepada imej bola sepak Malaysia secara keseluruhan,” kata MFL , hari ini.