Posa kata Iskana tidak dapat menerima kekalahan

Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) Posa Majais hari ini menyifatkan dakwaan Presiden Persatuan Bolasepak Bahagian Samarahan (PBBS) ohd Iskana Bujang sebagai ‘luahan peribadi’.

Mengikut laporan akhbar Utusan Borneo, Posa beranggapan bahawa Iskana mula membuat tuduhan-tuduhan ke atasnya kerana “tidak dapat menerima kekalahan semasa pemilihan Exco FAS pada Mesyuarat Agung Dwitahunan (AGM) FAS 2018/2021 di Limbang tahun lalu.”

Posa dalam pada itu terus menyangkal dakwaan Iskana dan berkata bahawa Iskana harus bersikap matang dan menerima keputusan AGM lepas.

Posa dilaporkan sebagai berkata “Saya percaya jika dia (Iskana) menang atau berjaya dipilih menjadi salah seorang Exco FAS mungkin tidak timbul sebarang isu yang beliau bangkitkan itu,”

“Semuanya sudah disahkan…kalau beliau mahu mempertikaikannya mengapa tidak semasa di Limbang berbanding cuba mengungkit kembali perkara tersebut sekarang,” jelasnya.

Bolasepak Sarawak kini hangat diperkatakan di antara peminat bolasepak selepas PBBS dan Persatuan Bekas Pemain Sarawak secara terbuka meminta Posa meletak jawatan ekoran kegagalan mengikut prosedur perlembagaan FAS.

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top