Pasukan Piala Presiden Sarawak hari ini berjaya memperoleh kemenangan ketiga berturut-turut mengejutkan pendahulu liga, Kedah di Stadium Negeri hari ini. 

Pasukan Sarawak menunjukkan corak permainan yang agresif berjaya mengucar-kacirkan gerakan serangan pasukan pelawat sekaligus berjaya mengikat kedudukan seri tanpa jaringan hingga ke penghujung separuh masa pertama. 

Jentera pertahanan Sarawak yang dipimpin oleh Rodney Calvin turut berjaya mengekang gerakan pasukan lawan. 

Pada separuh masa kedua, pasukan Sarawak menggandakan asakan. Hasilnya, pasukan pelawat sekali lagi gagal untuk meningkatkan penguasaan bola apabila seringkali hilang kawalan terutama di bahagian tengah padang. 

Pemain gantian, Mohd Nazri Daud muncul wira Sarawak apabila menjaringkan gol kemenangan di minit ke 85. Keputusan akhir memihak kepada Sarawak dengan jaringan 1-0. 

Kemenangan ini meletakkan pasukan Sarawak di tangga ke 7 dengan kutipan 14 mata dalam saingan kumpulan A Piala Presiden 2017. 

Pasukan Piala Presiden Sarawak dijadualkan akan menentang Johor Darul Takzim III di tempat lawan pada 22 Mei 2017. 

Comments