Pasukan Sarawak berjaya menewaskan pasukan Perlis FA di dalam saingan Piala FA melalui jaringan penyerang muda Abdul Rahim, dan pemain import Mark Hartmann.
Kedua-dua pasukan bermula perlahan dengan pasukan pelawat, Sarawak FA dilihat melalukan beberapa percubaan bahaya ke arah pintu gol pasuk Perlis FA.
Kemaraan pasukan Bujang Senang akhirnya membuahkan hasil apabila Abdul Rahim menanduk masuk bola hantaran Tommy Mawat untuk gol pertama pasukan Bujang Senang pada minit ke-25 perlawanan.
Pasukan Bujang Senang terus mengasak dan gol kedua akhirnya berjaya dijaringkan oleh Mark Hartmann pada minit ke-33 apabila Tommy Mawat dikasari di dalam kawasan penalti.
Perlawanan kekal memihak Sarawak FA sehingga tamat babak pertama.
Pada babak kedua, Perlis FA tidak membuang masa untuk mencari gol bagi merapatkan diri dengan jumlah jaringan pasukan pelawat.
Hasilnya, gawang Sarawak yang dikawal Aidil Mohamad bocor pada minit ke-49 apabila Oh Kyu-Bin berjaya menjaringkan gol pertama pasukan tuan rumah, sekaligus meletakkan kedudukan kini 2-1.
Pasukan Perlis FA terus mengusai perlawanan dengan pasukan pelawat mula longlai khususnya di bahagian tengah, memaksa David Usop mengarahkan pasukan beliau memperkemaskan pertahanan.
Kemaraan Perlis FA turut memaksa penjaga gol Sarawak, Aidil berhempas pulas mempertahankan pintu gol pasukannya dengan beberapa aksi menarik, selepas banyak ‘berehat’ pada babak pertama.
Sungguhpun Perlis FA terus mengasak dengan empat minit tambahan, pasukan Sarawak FA akhirnya tersenyum lebar apabila wisel penamat dibunyikan, menandakan pasukan dari Kuching itu mara ke pusingan seterusnya dengan kemenangan 2-1.
Kedudukan terakhir: Perlis FA 1-2 Sarawak FA