Dalam kesibukan pasukan Bujang Senang membuat persedian untuk menyelamatkan diri dari Liga Super untuk musim ini, hadir khabar angin yang tidak enak didengari yakni Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) kini mempunyai dana yang amat terhad.
Menurut beberapa laman media sosial, dana FAS untuk pasukan Bujang Senang semakin kecil dengan jumlah yang diperuntukkan untuk Ketua Jurulatih David Usop memperkasakan pasukan amat tidak kompetitif, sekaligus menyaksikan tangan David ‘terikat’ dan hanya mampu mengambil pemain, khususnya pemain import, yang termampu.
Khabarnya, jumlah yang diperuntukkan untuk David mencari dua pemain import bagi menggantikan Mark Hartmann dan Lee Jong-Ho adalah amat rendah, dengan peruntukan kedua-dua pemain import baharu tidak pun menyamai jumlah gaji atau harga perpindahan mana-mana pemain import di kelab Selangor FA.
Adalah juga difahamkan bahawa FAS kini sedang mempelbagaikan usaha untuk menarik minat penaja tambahan bagi memastikan pasukan mampu terus berjuang di Liga Super, dengan beberapa langkah berjimat cermat yang drastik dilakukan.
Lebih memeritkan lagi bagi FAS kini, adalah hakikat bahawa kehadiran penonton untuk hampir setiap perlawanan di Stadium Negeri amat rendah, sekaligus memberi indikasi jelas bahawa sumber kewangan utama FAS terancam.
Jika ada benarnya khabar ini, adalah diharap pihak swasta khususnya, menghubungi FAS bagi menghulurkan bantuan, dan adalah diharap peminat Bujang Senang memahami bahawa David selaku ketua jurulatih Sarawak FA sedang melakukan yang terbaik untuk menjayakan pasukan bimbingan dengan sumber yang sangat terhad. – sarawakcrocs.com