Angin perubahan besar-besaran dijangka akan dapat dilihat oleh peminat Bujang Senang pada 15 Disember ini apabila jurulatih baru Sarawak K Rajagobal memulakan latihan pertama beliau.
Buat masa kini, semua pemain Sarawak sedang diberi cuti rehat sambil beberapa acara ‘besar’ sedang berlangsung di belakang tadbir.
Pihak SarawakCrocs.com difahamkan bahawa antara yang sedang di lakukan oleh pihak Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) kini adalah membuat rundingan akhir dengan pemain import baru Sarawak, serta menyelesaikan masalah-masalah berkaitan perpindahan pemain-pemain import dari Semenanjung Malaysia. Sumber SarawakCrocs.com difahamkan bahawa ada diantara pemain ini ditandatangani dengan cara ‘rundingan terus’ tanpa memerlukan pemain tersebut hadir membuat ‘percubaan’.
Selain daripada itu, proses pembikinan jersi baharu Sarawak juga sedang diperhalusi dimana skuad Bujang Senang dijangka mengekalkan belang hitam merah untuk musim hadapan bagi jersi utama. Jenama jersi juga dijangka dikekalkan.
Penaja utama baru skuad Bujang Senang juga akan diumumkan selepas 15 Disember selepas Sarawak Energy dilihat berkemungkinan besar tidak meneruskan tajaan mereka terhadap skuad Bujang Senang.