Pasukan Kuala Lumpur FC perlu berhenti ‘bocor’ pada saat akhir dalam perlawanan mereka.
Pengendali Kuala Lumpur City FC, Bojan Hodak serik pasukannya sering kali ‘bocor’ menjelang detik-detik akhir perlawanan dan ini menyaksikan Kuala Lumpur telah terlepas beberapa mata berharga pada saingan Liga Super, musim ini.
Situasi ini telah terjadi dalam empat perlawanan terakhir berturut-turut bermula semasa bertemu PJ City FC, Sri Pahang FC, Terengganu FC dan yang terakhir, semasa tewas 2-3 kepada Kedah Darul Aman (KDA) FC selain perlawanan ketiga dengan Selangor FC.
Dua punca utama yang telah dikenal pasti oleh Bojan adalah kurangnya fokus dalam kalangan pemain selain pemain gantian yang dibawa masuk gagal mainkan peranan dalam mengekang pihak lawan.
“Daripada semua perlawanan ini, mungkin berdepan Terengganu FC antara situasi yang berada di luar kawalan kita kerana jaringan yang dilakukan oleh Makan Konate cukup cantik.
“Namun, beberapa perlawanan lain seperti dengan PJ City dan Selangor FC, semuanya ada mengena dengan tahap konsentrasi pemain dan kami sedang cuba perbaiki masalah ini.
“Begitu juga semasa dengan Sri Pahang, walaupun kami menang 2-1 namun gol yang dijaringkan oleh lawan juga pada masa kecederaan, manakala dengan Kedah, saya enggan perkatakan.
“Apa yang saya boleh katakan mengenai perkara ini selain fokus pemain, saya lihat mereka yang dibawa masuk dari bangku simpanan tidak dapat berikan impak sama seperti pemain utama bila dibawa masuk dalam beberapa perlawanan sebelum ini,” katanya.
Skuad warga kota kini menduduki tangga kelapan Liga Super selepas meraih tiga kemenangan daripada sepuluh perlawanan selain tiga keputusan seri.
Kuala Lumpur City FC bakal berdepan cabaran terbesar mereka pada Jumaat ini apabila menerima kunjungan pendahulu, Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras bagi melengkapkan cabaran mereka di pusingan pertama Liga Super.




